KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM48 juta bagi meneruskan pemberian subsidi tiket penerbangan termasuk inisiatif FLYsiswa dan subsidi tiket musim perayaan kepada pelajar institut pengajian tinggi awam pada tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan subsidi tiket penerbangan berkenaan telah dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025.
Menurutnya, FLYsiswa ialah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang diperkenalkan pada 2023.
"Bantuan subsidi ini dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell di mana syarikat penerbangan tempatan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Inisiatif ini bertujuan mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman terutamanya mereka yang tiada pilihan mod pengangkutan selain penerbangan.
"Pelaksanaan inisiatif ini telah diteruskan pada 2024 untuk manfaat 52,030 mahasiswa,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai adakah Kementerian Pengangkutan (MoT) bercadang untuk mengekalkan FLYsiswa sebagai inisiatif tahunan dan berterusan berbanding inisiatif yang bersifat ‘one-off’ ataupun bersifat pengumuman.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, daripada jumlah mahasiswa yang layak mendapat bantuan FLYsiswa pada tahun 2024, sebanyak 42.7 peratus atau 22,226 orang berasal dari Sabah manakala 36.8 peratus (19,171) berasal dari Sarawak.
"Di kalangan mahasiswa yang berasal dari Sabah, 17,388 orang sedang belajar di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, matrikulasi dan IPG di Semenanjung Malaysia, 3,433 di Sarawak dan 1,405 di Wilayah Persekutuan Labuan.
"Untuk mahasiswa yang berasal dari Sarawak pula, 16,027 sedang belajar di Semenanjung, 2,716 di Sabah dan 428 di Wilayah Persekutuan Labuan. Setakat 4 November 2024, sebanyak 35,183 daripada 52,030 mahasiswa yang layak atau 68 peratus telah menebus baucar FLYSiswa,” ujarnya.
Sementara itu, Anthony menegaskan, MOT melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sentiasa memastikan pihak yang terlibat dalam industri penerbangan mematuhi piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam (ICAO) bagi memastikan keselamatan para penumpang sentiasa diutamakan.
Ujarnya, ia meliputi pelbagai langkah keselamatan berkaitan dengan lapangan terbang, operasi pesawat, penumpang, kargo, bagasi,dan kakitangan.
"Setiap tahun CAAM akan menjalankan audit ke atas ibu pejabat pengendali udara bagi memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh CAAM dan ICAO.
"Di samping itu, pihak CAAM juga melakukan audit keselamatan secara berkala dan secara rawak untuk menilai dan menambah baik semua aspek keselamatan mengikut Peraturan dan arahan yang sedia ada,” katanya.