Tapir 200kg mati dilanggar van

Iklan
Tapir jantan seberat 200kg mati dilanggar kenderaan di Jalan Mersing-Jemaluang berhampiran ILP Mersing kelmarin.

MERSING - Seekor tapir jantan seberat 200 kilogram (kg) mati dipercayai dilanggar sebuah van di Jalan Mersing-Jemaluang berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya menghantar empat kakitangan Pejabat Perhilitan Mersing ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 9.54 malam.

"Berdasarkan keterangan pengadu, tapir jantan itu dilanggar sebuah van.

Iklan

"Haiwan itu dipercayai mati akibat cedera di kepala selain terdapat kesan seretan di badan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati aktiviti pertanian di kawasan itu menyebabkan tapir keluar dari habitatnya.

Iklan

"Ini kejadian kelima tahun ini membabitkan tapir dilanggar. Pada 4 Februari lalu, seekor tapir betina mati dilanggar di Jalan Sekakap-Mersing,” katanya.