Amanah Johor diingatkan jangan cuba jolok sarang tebuan - UMNO

Iklan
ABDUL HALIM

JOHOR BAHRU - Kenyataan terbaharu Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang masih mempersoalkan mengenai Kerajaan Perpaduan masih belum dibentuk di negeri ini, disifatkan sebagai cubaan 'menjolok sarang tebuan'.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kenyataan yang menyebut jumlah kerusi yang akan ditandingi Amanah pada pilihan raya akan datang, juga umpama pengisytiharan 'perang' dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor.

Iklan
Iklan

"Saya lihat kenyataan Amanah Johor ini macam nak jolok sarang tebuan dan isytihar perang dengan UMNO/BN, sedangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah berpesan supaya tidak membuat kenyataan babitkan Kerajaan Perpaduan secara terbuka.

"Bagi saya, UMNO/BN Johor tak ada masalah untuk berperang dan bertarung dengan Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti, namun ini ketika ini bukan masanya untuk berpolitik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau seterusnya mengingatkan Amanah Johor supaya tidak sombong dan sepatutnya fokus untuk membela dan membantu rakyat seperti BN dan rakan-rakan lain dalam komponen PH.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Iklan

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.

Pada Isnin, Ahmad Zahid dilaporkan menasihatkan Amanah Johor supaya menghentikan seketika percaturan politik, sebaliknya menumpukan usaha untuk membantu rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilaporkan berkata, tempoh bagi mengadakan PRU16 atau pun PRN Johor masih panjang.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN dan PRU akan datang berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga dilaporkan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal, PH.