KFA tidak akan keluarkan sijil perpindahan Akhyar

Iklan
Akhyar sudah memulakan sesi latihan bersama JDT pada pramusim 2019 di Larkin. Foto: Ahmad Zaki Osman

ALOR SETAR - Kedah menegaskan tidak akan mengeluarkan Sijil Perpindahan Pemain (SSP) buat Akhyar Rashid untuk ke Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun pemain tersebut sudah menjalani latihan bersama Harimau Selatan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sekiranya persatuan mengeluarkan sijil berkenaan seolah-olah mereka bersetuju dengan perpindahan tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami tidak setuju (sebab itu tidak keluarkan SSP), kami rasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan keluarkan. Kalau kami keluarkan seolah-olah kami setuju dengan perpindahan ini," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman, petang tadi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan pihaknya mempunyai kuasa untuk mengeluarkan SPN sementara buat Akhyar namun masih lagi mahu berbincang dengan KFA kerana SSP adalah hak persatuan negeri tersebut.

Iklan

Menurutnya, FAM sudah menghubungi KFA untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah keruh.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul berkata, pihaknya masih berpegang kepada hasrat asal untuk mengheret kes Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan di Switzerland dan barisan peguam KFA pada fasa akhir meneliti perkara tersebut.

Iklan

"Kami dah bincang dengan pasukan peguam dan apapun akan bergerak mengikut teknikal dan prosedur. Apa yang dibangkitkan oleh FAM (yang mahu berbincang), itu adalah pandangan mereka.

"Kami pula berpandangan akan meneruskan apa yang kami rasa kita betul. Namun dalam hal-hal lain, KFA akan tetap bersikap profesional dengan FAM dan juga Malaysian Football Leageu (MFL) bagi persediaan Liga Malaysia," katanya lagi.