SHAH ALAM - Hadiah wang tunai RM29,600 menanti pemenang Pertandingan Pancing Santai Madani di Pantai Kelanang, Banting pada Ahad ini.
Penasihat Persatuan Kebajikan Masyarakat Ceria Selangor (PKMC), Hasnul Baharuddin berkata, juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, naib juara menerima RM3,000 dan ketiga RM1,000.
Menurut bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu, pemenang tempat keempat hingga ke-10 menerima RM300, manakala ke-11 hingga 100 bakal membawa pulang RM150.
"Pertandingan ini merupakan anjuran PKMC dengan kerjasama Wak Jali Event Management dan Ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 18.
"Tidak semua pemancing mampu menyertai pertandingan berikutan kebanyakan yuran penyertaan adalah lebih RM100, malah ada penganjur yang meletakkan yuran penyertaan hingga RM150.
"Yuran ini sangat tinggi. Tidak ramai yang mampu menyertainya, terutama golongan B40.
Justeru, pancing santai Madani anjuran PKMC ini memberi peluang sama rata kepada segenap lapisan masyarakat termasuk B40 untuk mengambil bahagian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Hasnul, pertandingan itu adalah acara julung kali dianjurkan pertubuhan itu dengan matlamat menerapkan konsep Madani di kalangan peserta pertandingan.
Tambah beliau, program tersebut turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga di sekitar Pantai Kelanang dengan kehadiran ramai peserta termasuk dari luar Selangor.
"Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 4 petang Sabtu hingga 10 malam.
"Kaunter dibuka semula seawal jam 7 pagi hingga pertandingan bermula jam 9.30 pagi.
"Pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479,” katanya.