TAWAU - Seorang pelajar Tingkatan Dua terpaksa menahan 'kepenatan' selama satu jam apabila bahagian punggungnya tersekat pada kerusi yang tiada alas sebelum diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian di sebuah sekolah di sini, pada Selasa.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika remaja perempuan tersebut bermain dengan rakannya dengan duduk di sebuah kerusi yang sudah rosak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.08 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Tawau.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati bahagian punggung seorang pelajar tersekat pada kerusi yang tiada alas kusyen sejak satu jam lalu.
"Pasukan bomba kemudian bertindak memotong besi kerusi tersebut dengan menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun dinasihatkan untuk dihantar ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.45 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.