Peniaga sayur rugi RM274,000 jadi mangsa phone scam

Iklan
Seorang peniaga sayur kerugian RM274,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar pegawai sebuah syarikat insurans dan polis. (Gambar kecil: Yahaya) Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang peniaga sayur kerugian RM274,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan 'phone scam' yang menyamar pegawai sebuah syarikat insurans dan polis.

Wanita warga emas berusia 68 tahun itu diperdaya dengan dakwaan tuntutan insurans palsu selain waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa mendakwa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans pada 28 September lalu berkaitan terdapat tuntutan atas namanya.

"Suspek memberitahu, mangsa turut dikehendaki kerana terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram sebelum diminta menyerahkan maklumat akaun bank untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Mangsa mendakwa panggilan turut disambungkan kepada beberapa 'pegawai' lain termasuk seorang Timbalan Pendakwa Raya yang memaklumkan tentang waran tangkap tersebut," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Yahaya berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan ke satu akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan kewangan dan menangguhkan waran tangkap.

Iklan

"Mangsa sekali lagi menerima panggilan pada 1 Oktober lalu namun daripada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai penyiasat kewangan dan mengarahkannya menukar kad bank serta mendaftarkan nombor telefon baharu.

"Suspek turut mengarahkan mangsa memindahkan wang RM237,000 ke dalam akaun miliknya dan sebahagian lagi secara deposit tunai ke akaun pihak ketiga sebagai bayaran ikat jamin," katanya.

Beliau berkata, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu selepas mendapati berlaku 32 transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke 14 akaun tidak dikenali antara 2 hingga 10 Oktober lalu.

"Selepas memaklumkan kejadian kepada keluarga, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Temerloh," ujarnya.

Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya panggilan telefon mencurigakan, terutama melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi individu mengaku sebagai pegawai polis atau wakil agensi kerajaan.

"Buat semakan atau pengesahan pihak berkuasa atau institusi berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan kewangan bagi mengelak ditipu," katanya.