AMPANG - Polis membuka kertas siasatan berhubung penganiayaan seekor kucing di sebuah flat di sini, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang menyedari bunyi kucing bising di luar rumah pada 10 pagi, Jumaat lalu.
"Wanita itu melihat seorang lelaki berusia 60-an yang juga jirannya sedang memasukkan kucing berkenaan ke dalam jaring besar sebelum mengheret dari aras rumahnya ke tempat haiwan itu dilepaskan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Azam berkata, beberapa penduduk juga cuba menasihatkan lelaki itu supaya melepaskan semula kucing yang berada di dalam jaring berkenaan.
"Lelaki berkenaan berbuat demikian kerana kucing itu selalu berak di hadapan rumahnya," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan tindakan lanjut untuk mengesan dan mengambil keterangan individu berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan yang merujuk kepada khianat ke atas binatang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan melakukan penganiayaan terhadap mana-mana haiwan," katanya.