BN-PH setuju wujud ruang komunikasi hadapi PRN Sabah

Iklan
Satu pertemuan diadakan secara tidak rasmi antara BN dan PH Sabah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi melicinkan gerak kerja bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, satu pertemuan secara tidak rasmi diadakan di Kota Kinabalu dalam rangka memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

Dalam pertemuan itu, kedua-dua parti berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

"Bagi maksud itu, kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti-parti lain sebagai persediaan memasuki PRN Sabah yang akan datang.

Iklan

"Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan keduadua parti," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh pemimpin daripada parti komponen BN Sabah dan PH Sabah iaitu terdiri daripada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin; Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin; Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.

Iklan

Sebelum ini, BN dan PH dilaporkan telah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tahun depan.