ISU melibatkan kelulusan visa dan permit pemain import Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berada pada peringkat akhir untuk disiapkan.
Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan isu sebaik mungkin untuk memastikan kelulusan visa dan permit pemain luar negara tersebut dapat diperoleh dengan segera.
"Kelewatan menyelesaikan prosedur ini disebabkan oleh beberapa isu teknikal yang tidak dapat dielakkan dan terpaksa dihadapi oleh pihak kelab.
Beliau mengulas, sebelum ini terdapat sedikit kekeliruan daripada pihak ejen pemain berkenaan proses selain masalah teknikal yang dihadapi kelab.
Bagaimanapun, katanya, pihak kelab dapat mengatasi perkara berbangkit ini hasil komunikasi yang baik bersama ejen pemain import berkenaan.
"Pihak kelab tidak pernah lepas tangan atau mengabaikan isu ini.
"Kami turut mengambil langkah yang lebih efektif dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Imigresen Negeri Kelantan dan hasil daripada kerjasama yang baik kedua-dua pihak, permohonan visa pemain import kini berada di peringkat akhir untuk diluluskan,” katanya.
Tegas beliau, pihak pengurusan dan seluruh kakitangan kelab sentiasa peka dengan isu-isu berbangkit dan berusaha menyelesaikannya dengan berlandaskan etika pengurusan profesional.