JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Pusat bagi pembukaan semula laluan ketiga pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, faktor keselamatan menjadi isu utama menyebabkan laluan yang sebelum ini ditutup ketika pandemik Covid-19, masih belum dibuka ketika ini.
Menurut beliau, perbincangan masih dilakukan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mempertimbangkan semula pembukaan laluan ketiga itu.
"Kita sudah bawa cadangan ke mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani kesesakan dan kita dapat banyak maklumat bahawa antara isu yang menjadi cabaran utama adalah keselamatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Causeway Link Country Garden Danga Bay - JB Sentral, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Perhubungan Awam, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PPAJ), Afiqah Ali.
Dalam pada itu Mohamad Fazli berkata, pihaknya kini masih pada peringkat penilaian pelaksanaan Proof of Concept (POC) kod QR bagi laluan bas dan motosikal dan jika berkesan akan diperluaskan ke laluan kereta dan lori.
"Sekarang kita sedang buat POC kod QR di laluan bas dan motosikal, jadi kita nak tengok prestasi kod QR ini dulu, kalau ia lebih laju, sebenarnya ia tidak jadi masalah.
"POC kod QR ini akan tamat bulan ini dan saya sudah berhubung dengan KDN serta Jabatan Imigresen supaya POC ini diperluaskan ke laluan kereta dan lori kerana sekarang hanya bas dan motosikal," katanya.
Tambah Mohamad Fazli lagi, satu pertemuan dengan persatuan pengusaha teksi di negeri ini akan diadakan kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit susulan pengumuman penamatan perkhidmatan dan penggunaan tenaga gas asli (NGV) bermula Julai depan.
"Saya akan mendengar maklum balas mereka dan melihat berapa ramai pemandu teksi akan terjejas oleh perubahan dasar ini. Kita juga akan membincangkan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan.
"Sekiranya ia (insentif) tidak mencukupi, kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu mereka,” katanya.