EDU berharap kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal meneruskan peningkatan prestasi seperti yang dilakukan pada ketika ini selepas beliau melepaskan tanggungjawab sebagai pengarah sukan kelab tersebut.
"Kini tiba masanya untuk meneruskan cabaran berbeza. Arsenal akan sentiasa kekal di hati saya. Saya berharap kelab dan penyokong Arsenal hanya melakukan perkara yang baik dan terbaik.
"Ini keputusan yang amat sukar selepas Arsenal memberi peluang bekerja dengan begitu ramai orang yang hebat dan juga peluang untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu istimewa dalam sejarah kelab,” kata Edu yang berusia 46 tahun.
The Gunners sebelum itu mengumumkan Edu meletakkan jawatan sebagai pengarah sukan Arsenal.
Sebagai rekod, bekas pemain tengah Arsenal itu menyertai semula kelab London Utara sebagai pengarah teknikal pada 2019 sebelum dinaikkan pangkat pengarah sukan pada 2022.
Dia juga memainkan peranan penting dalam pelantikan Mikel Arteta sebagai pengendali pada 2019, selain memacu kebangkitan The Gunners dengan kehadiran pemain seperti kapten Martin Odegaard, Gabriel Jesus, Kai Havertz dan Declan Rice.
Arsenal tidak menyatakan alasan peletakan jawatan Edu, namun media tempatan mengaitkan pemain kelahiran Brazil itu dengan pemilik Nottingham Forest, Evangelos Marinakis, yang juga memiliki gergasi liga Greece, Olympiakos Piraeus dan kelab Portugal, Rio Ave.
Sementara itu, pengerusi bersama Arsenal, Josh Kroenke menghormati keputusan Edu, berterima kasih kepadanya atas sumbangan serta dedikasinya dalam memacu kelab ke hadapan.
"Perubahan dan evolusi adalah sebahagian daripada kelab kami. Kami kekal fokus pada strategi kami dan memenangi trofi utama. Pelan penggantian kami akan mencerminkan cita-cita berterusan ini,” katanya.