SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melantik Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman sebagai Pengarah Besar bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober lalu.
Felda memaklumkan, pelantikan Suzana yang menjadi wanita pertama memegang jawatan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara.
Menurutnya, langkah itu seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemaju utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan.
"Suzana mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai Felda sebagai Pegawai Tadbir pada tahun 1998 sehingga memegang jawatan Ketua Jabatan Pelaburan pada 2008.
"Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Kepimpinan beliau diperkuatkan dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan dan pengurusan aset institusi selain menganggotai pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti dalam dan luar negara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Suzana juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan Ahli Lembaga Pengarah Felcra yang mana sumbangannya menyerlahkan komitmen terhadap industri serta pengurusan lestari.
Menurut Felda, komitmen tersebut penting bagi memastikan syarikat itu memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
"Beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah Felda serta syarikat-syarikat di bawah kumpulan seperti FGV Holdings, MSM Holdings dan Encorp Berhad selain memegang peranan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator.
"Selain itu, beliau juga memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah dalam Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University, United Kingdom (UK) serta Advance Management Program dari Harvard Business School, Amerika Syarikat.
"Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan antarabangsa serta kepimpinan yang berpandangan strategik, beliau dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing Felda," menurut kenyataan itu.
Menerusi pelantikan itu, syarikat tersebut yakin Suzana akan membawa Felda ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara.