IPOH - Pihak pendakwaan akan membuktikan berlakunya perlanggaran yang menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian dalam sabitan kes bunuh melibatkan seorang pegawai kanan polis terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima, tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, pendakwaan juga akan membuktikan bahawa tindakan tertuduh, Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak melanggar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dilakukan dengan niat untuk mendatangkan kecederaan yang mana kecederaan tersebut adalah cukup pada lazimnya bagi menyebabkan kematian selaras dengan Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, keterangan juga akan mengemukakan bahawa tertuduh yang semasa kejadian memandu kenderaan jenis Perodua Ativa berwarna putih melanggar mangsa pada had laju tinggi tanpa sebarang tindakan evasif (mengelak) biarpun had laju dibenarkan di kawasan tempat kejadian adalah setakat 30 kilometer per jam sahaja.
"Tertuduh melanggar mangsa dengan mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah sebegitu sekali berbahaya sehingga mungkin sekali menyebabkan kematian atau sesuatu kecederaan.
"(Seterusnya akan dibuktikan bahawa) tertuduh melakukan perbuatan itu dengan tiada apa-apa sebab bagi mendatangkan bahaya menyebabkan kematian atau bencana sebagaimana tersebut, selaras dengan Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan," katanya dalam ucapan pembukaan kes itu pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Afzainizam berkata, pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduhpada 15 Disember 2023 antara jam lebih kurang 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari telah mengekori dan mengejar mangsa yang menunggang motosikal motosikal jenis Yamaha 135LC dari kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah menuju ke kawasan Masjid Muhammad Al Fateh dan kawasan perumahan Taman Gerbang Meru Indah.
Kata beliau, pendakwaan akan membawa keterangan bahawa setibanya di kawasan hujung jalan kawasan perumahan Taman Gerbang Meru Indah, tertuduh dan mangsa telah berpatah balik menuju ke laluan sama menghala semua ke kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/ Jalan Pekeliling Meru Indah.
"Tertuduh selepas berpatah balik masih lagi mengekori dan mengejar mangsa. Setibanya mangsa di persimpangan Jalan Taman Jati 1/ Jalan Pekeliling Meru Indah, tertuduh telah melanggar dari bahagian belakang motosikal mangsa.
"Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemeriksaan perubatan dan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan maut akibat pelanggaran tersebut," katanya.
Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari sehingga 17 Januari tahun depan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun hingga 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Hari pertama perbicaraan kes berkenaan pada Selasa, tiga saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan iaitu Konstabel Muhammad Azif Daniel Abdul Ghaffar yang bertugas di kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh; penjaga stor barang kes Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) IPD Ipoh, Koperal Md Zahir Abdullah dan Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris.
Lebih 10 barang kes termasuk kereta dan motosikal telah ditandakan sebagai eksibit.
Perbicaraan kes disambung pada Rabu.