SEBERANG JAYA - Zakat Pulau Pinang (ZPP) melancarkan Divisyen Projek Khas yang bermatlamat untuk kelestarian muzakki (penerima) dan mustahik (pembayar) zakat.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, peranan Divisyen Projek Khas itu bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestasi kewangan tetapi juga meningkatkan reputasi dan menjana nilai bagi pihak berkepentingan terutama pembayar zakat, prospek pembayar zakat, serta penyumbang korporat bagi program sosioekonomi di Pulau Pinang.
Menurutnya, Divisyen Projek Khas ini diketuai oleh Ketua Pegawai Projek merangkumi Jabatan Projek Khas dan Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf.
"Melalui transformasi ini, Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf dipertanggungjawabkan menguruskan dan memperkasakan operasi tiga institusi utama daripada projek agihan zakat iaitu Bahagian Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ), Inapan Kasih Sayang (IKS) iaitu asrama anak-anak asnaf, dan seterusnya pengurusan pusat jagaan warga emas Darul Hanan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Divisyen Projek Khas dan Apresiasi Rakan Sinergi ZPP pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, Jabatan Projek Khas juga berfungsi dan mengendalikan tugas pengagihan zakat melalui pembangunan modal insan yang merangkumi pembangunan ekonomi, keusahawanan, kemahiran (TVET) dan pendidikan (Profesional) dalam kalangan kumpulan peniaga kecil dan belia.
Jelasnya, jabatan ini juga sentiasa melihat potensi dan peluang kerjasama dengan pelbagai agensi secara dua hala dalam memastikan pelbagai program yang dilaksanakan membuahkan hasil sebaiknya.
"Kita berharap dengan penubuhan Divisyen Projek Khas ini adalah komitmen Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam menempatkan landasan bagi agenda kelestarian projek agihan zakat.
"Semakin cekap dan berkesan kutipan dan agihan zakat, akan memberikan kesan yang lebih besar kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar, serta mewujudkan nilai yang lebih besar dalam jangka panjang.
"Langkah ini adalah titik permulaan dalam membina institusi zakat yang lestari, selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk kesejahteraan jangka panjang yang konsisten dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)," katanya lagi.