PERAK FC menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong skuad The Bos Gaurus yang ingin ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan tertunda Liga Super di antara Perak FC dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ahad ini.
Perkara itu diumumkan Pengurusan Perak FC menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, semua pemegang tiket perlawanan tertunda sebelum ini boleh menebus tiket-tiket tersebut di kaunter yang disediakan termasuk semua pemegang pas semusim Perak FC.
"Perak FC memohon maaf atas keputusan yang diambil ini setelah meneliti isu-isu teknikal yang dibangkitkan oleh pihak MFL dan segala kesulitan yang dialami oleh para penyokong skuad The Bos Gaurus.
"Kami sekali lagi menyeru kepada semua yang berkesempatan dan berkelapangan untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kita," katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, penyokong yang berminat ke Stadium Sultan Ibrahim boleh berhubung terus dengan Sekretariat Perak FC.
Dalam pada itu, Pengurusan Perak FC menjelaskan keputusan mengubah lokasi perlawanan dibuat setelah pertimbangan dibuat dari segenap sudut serta bagi menghormati pihak penganjur dan pasukan-pasukan lain yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) demi kelancaran perjalanan liga musim 2024/25.
Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan juara bertahan JDT yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Ahad ini, kini ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor.
Dalam kenyataan pada Selasa, MFL memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.