ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan kemunculan doktor perubatan menjual produk tertentu menerusi laman sosial kebelakangan ini.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, tindakan mengaut keuntungan itu sebenarnya menyalahi etika kedoktoran.
Menurutnya, tidak salah untuk doktor perubatan berkongsi ilmu kesihatan secara terbuka melalui laman sosial namun mempromosikan sesuatu produk dikaitkan dengan kesihatan adalah tidak beretika.
"Diharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan penerangan doktor yang menjual produk sendiri atau pihak lain dalam mencari sedikit keuntungan, individu berkenaan ibarat tidak mempunyai etika kedoktoran,” katanya pada Selasa.
Dr Suhazeli mengulas mengenai trend kebelakangan ini yang menyaksikan kemunculan doktor perubatan di media sosial terutamanya TikTok yang menerangkan isu-isu perubatan namun pada masa sama mempromosikan produk kesihatan.
"Ia merupakan usaha yang baik oleh profesional perubatan yang terjemahkan maklumat melalui bahasa mudah agar masyarakat faham mengenai kesihatan dan rawatan yang dilaksanakan.
"Namun timbul kebimbangan apabila maklumat yang bermotifkan pendidikan kesihatan itu dicampur adukkan dengan menjual produk buatan sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, tindakan tersebut menyalahi etika kedoktoran kerana produk tersebut tidak dibuktikan secara sah dalam kaedah pengkajian perubatan.
"Ada kalangan mereka memetik testimoni pesakit berkaitan produk itu. Sedangkan produk yang ditawarkan belum dibuktikan secara sah melalui method kajian klinikal sebenar,” jelasnya.
Dr Suhazeli berkata, walaupun doktor berkenaan mendakwa produk tersebut telah dibuat kajian seluruh dunia seperti khasiat buah-buah tertentu atau pemakanan atau gel tertentu, namun kajian yang dilakukan adalah bersifat umum.
"Ada sebahagian kajian masih di peringkat awal, kajian masih belum lengkap sehingga boleh didakwa mampu diangkat sebagai ubat untuk merawat.
"Ada komen positif pengguna di media sosial seperti ramai sudah gunakan dan tak ada masalah sampingan malah berkesan.
"Ya mungkin ada beroleh kesan positif, bagaimana mereka yang mempunyai kesan sampingan negatif? Berapa dos mereka gunakan? Biasanya pengguna yang alami kesan negatif tidak komen di media sosial kerana mereka malu atau menyesal mengambil produk tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, ini akan menyebabkan masyarakat keliru kerana penerangan produk dilakukan oleh golongan profesional perubatan yang mempromosikan ubat yang dihasilkan sendiri.
"Method yang menentukan sesuatu produk itu selamat digunakan ke atas majoriti manusia, mempunyai kesan sampingan yang minimum, berkesan merawat, berapa dos boleh digunakan dan ia stabil.
"Inilah kajian ‘Evidence Based Medicine’ iaitu pencarian pembuktian secara sahih melalui kaedah berwibawa (pakar yang buat kajian), tidak berat sebelah atau cenderung menipu atau manipulasi kajian,” jelasnya.
Tegasnya, produk yang diperakui ditentukan oleh pengkaji berwibawa selain mendapat kajian atau ulasan daripada mereka yang berautoriti.
Dr Suhazeli turut berkongsi garis panduan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berkaitan penyebaran maklumat oleh pengamal perubatan.
"Penyampaian maklumat mesti tepat dan mengikut kaedah perubatan, iaitu merujuk kepada bukti-bukti perubatan yang kukuh melalui kajian, bukannya maklumat kesihatan dari laman web tidak berwibawa.
"Jika kaedah perubatan memang berkesan merawat pesakit, kemukakan dahulu kepada pihak berautoriti seperti Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penelitian lanjut sebelum pengiktirafan diberikan bahawa produk itu boleh digunakan oleh masyarakat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penyebaran maklumat kesihatan melalui media sosial juga perlu mengikut garis panduan MMC.
"Pengamal perubatan berdaftar tidak boleh bertindak bertentangan dengan norma etika atau mencemarkan nama baik profesion perubatan.
"Antaranya, pengiklanan untuk dapatkan pesakit atau bagi tujuan mempromosikan kelebihan profesional itu sendiri, berkempen atau melibatkan mana-mana ejen untuk mendapatkan pesakit,” katanya.