MP UMNO cadang Felda letak di bawah KKDW

Iklan
Kerajaan dicadang meletakkan Felda di bawah seliaan KKDW. Gambar kecil: Mohd Isam

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang meletakkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata, langkah itu untuk membolehkan agensi berkenaan bergerak seiring dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA).

Iklan
Iklan

"Perancangan dan hala tuju kerajaan mengenai masa depan Felda terus menjadi tanda tanya sejak agensi tersebut diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

"Felda perlu diletakkan di bawah kementerian supaya urusan pentadbiran dan kawal selianya lebih berkesan.

Iklan

"Penyeragaman tiga agensi utama yang menjadi tunjang ekonomi masyarakat luar bandar perlu dilakukan supaya gerak kerja untuk memperkukuhkan sektor sawit dan getah dapat berjalan dengan lebih berkesan kerana adanya pemusatan dari segi pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Isam berkata, sebelum ini pelbagai bantuan tersedia untuk semua peneroka Felda, namun kini ia berubah.

"Hanya sebilangan kecil sahaja yang layak untuk memanfaatkan sesetengah bantuan dan terdapat juga bantuan yang terpaksa dimansuhkan.

"Keadaan kewangan Felda sememangnya memerlukan lonjakan baharu supaya dapat dipulihkan sepenuhnya bagi menjamin kestabilan yang berpanjangan," katanya.