KUALA LUMPUR - Cadangan pembinaan Kompleks Sukan Gua Musang kini di peringkat pengesahan tapak selewat-lewatnya hingga hujung tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pada 17 Julai lalu, Kementerian Belia dan Sukan menerima maklum balas daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bahawa permohonan berhubung cadangan pembinaan Kompleks Sukan Gua Musang akan dikemukakan setelah tapak cadangan dimuktamadkan.
Iklan
Iklan
"Pihak kementerian akan sentiasa menyusul perkara ini dengan pihak Kesedar dan memberi tempoh sebelum atau sehingga 31 Disember ini untuk mereka mengesahkan tapak kompleks sukan dengan semua syarat dipatuhi sepenuhnya.
"Kementerian tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan jika pengesahan diterima selepas tempoh tersebut,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) berhubung status cadangan pembinaan Kompleks Sukan Gua Musang sebagaimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober tahun lepas.
Hannah berkata, permohonan berkaitan cadangan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau Pejabat Pembangunan Negeri (PPN).
"Permohonan juga perlu dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan semua syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi bagi permohonan projek pembangunan telah dipatuhi,” katanya.