KOTA BHARU -"Sekurang-kurangnya benda itu tiada di Kelantan. Hendak buat benda tidak baik terpaksa keluar," demikian tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berhubung tindakan anak muda negeri ini ke Golok, Thailand untuk berhibur.
Menurut beliau, sudah menjadi lumrah jika seorang individu itu mahu mencari perkara tidak baik di tanah suci Makkah pun mereka akan jumpa.
"Orang yang hendak cari benda tidak baik ini di mana-mana ada tidak kiralah di negeri mana bahkan di Kelantan sekali pun.
"Kalau realitinya begitu kita sedihlah. Tapi sekurang-kurangnya benda itu tidak berlaku di Kelantan," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu, beliau merasmikan Kongres Antarabangsa Rafflesia Kelantan 2024 di Hotel Renai di sini.
Mohamed Fadzli memberitahu, walau bagaimanapun pihaknya memandang serius apa yang dikatakan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, dua hari lalu perkara tersebut telah dibincangkan bersama dengan Mohd Yusoff semasa kunjungan ke Pejabat Timbalan Menteri Besar di Kota Darulnaim.
Tambah beliau, berhubung ke Golok untuk berhibur pihaknya tidak boleh menyekat orang ramai menyeberang ke sana.
"Bagaimanpun kerajaan negeri akan berusaha lebih untuk bagi kesedaran kepada rakyat terutama golongan muda.
"Kita (kerajaan negeri) bukan duduk saja. Kita buat macam-macam perancangan, kajian dengan bantuan universiti-universiti untuk kenal pasti masalah yang berlaku.
"Bila tahu 'penyakit' kita akan usaha untuk baiki. Sebab itulah Kelantan mengamalkan dasar pendidikan dan komuniti rabbani semuanya untuk perbaiki masalah seperti ini," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan polis Kelantan mendedahkan Pekan Golok, Thailand yang hanya berjarak kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadi 'pusat hiburan' kepada rakyat Serambi Makkah terutama anak muda pada hujung minggu.
Rakyat Kelantan hanya perlu menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram yang ada untuk berhibur di sana, selain dipercayai menikmati 'sajian' dadah ditawarkan di pusat-pusat hiburan.
Mohd Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan sekerjanya di sana kelmarin mendedahkan bahawa sangat ramai anak muda dari negeri ini terutama pada Jumaat dan Sabtu ke sana untuk berhibur.