Ketua WHO seru gencatan senjata susulan serangan Israel ke atas hospital di Gaza

Iklan
Tedros Adhanom Ghebreyesus

ISTANBUL - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan pada Isnin berhubung serangan Israel ke atas hospital di Gaza, menyeru gencatan senjata segera untuk melindungi orang awam dan petugas kesihatan, lapor Agensi Berita Anadolu.

"Sungguh mengerikan bahawa hospital di Gaza terus diserang.

Iklan
Iklan

"Kehidupan bergantung kepada gencatan senjata segera dan tanpa syarat. Sudah tiba masanya untuk menghentikan tembakan dan mengembalikan keamanan!” katanya di platform X.

Seruan itu dibuat selepas misi yang diketuai WHO baru-baru ini ke Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, apabila tingkat ketiga dilaporkan terkena serangan selepas pasukan itu beredar, mencederakan enam pesakit kanak-kanak - seorang kritikal.

Iklan

Serangan berlanjutan ketika kakitangan WHO menyampaikan bekalan penting termasuk bekalan perubatan, 150 unit darah dan 20,000 liter bahan api, kata Tedros.

Walaupun berdepan risiko, pasukan itu turut membantu memindahkan 25 pesakit dan 37 pengiring ke Hospital Al-Shifa, katanya.

Iklan

Selain itu, WHO berjaya sampai ke Hospital Al-Awda di utara Gaza, dan mereka dapat memindahkan lima pesakit tetapi dihalang daripada menyampaikan bekalan.

Tedros mengecam kekurangan perlindungan terhadap petugas kesihatan di tengah-tengah pengeboman Israel yang berterusan, yang turut menghalang akses kemanusiaan. - Bernama/Anadolu