KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 1.86 juta bakat tempatan Malaysia termasuk yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang dilapor berhijrah ke negara luar di seluruh dunia untuk mencari peluang kerja lebih baik.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, data itu berdasarkan laporan World Migration Report 2022 oleh International Organization for Migration (IOM).
"Laporan World Migration Report 2022 oleh IOM menyatakan kadar purata migrasi global ialah 3.6 peratus.
"Malaysia mencatatkan kadar migrasi 5.6 peratus daripada populasi keseluruhan, iaitu seramai 1.86 juta orang.
"Maklumat terperinci mengenai statistik penghijrahan mengikut pecahan kaum, negara destinasi, umur dan alasan penghijrahan dari tahun 2018 hingga 2024 sedang dikumpul melalui kajian tambahan serta pelbagai sumber data yang relevan,” katanya menerusi jawapan bertulis bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Chow Yu Hui (PH-Raub) yang memintanya mendedahkan statistik migrasi rakyat Malaysia setiap tahun mengikut pecahan kaum, negara destinasi, umur dan alasan penghijrahan ke negara-negara lain dari tahun 2018 hingga 2024.
Steven menjelaskan, berdasarkan data daripada TalentCorp dan Bank Dunia melalui kajian bertajuk ‘Leveraging on Malaysian Diaspora: Malaysian Diaspora Heat Maps’ yang disiapkan pada April 2022, populasi diaspora Malaysia di empat negara utama dianggarkan seramai 281,429 orang.
Menurutnya, empat negara tersebut ialah Australia (138,363 orang), Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang).
"Di Australia sebahagian besar terdiri daripada individu yang berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda terlibat dalam sektor perkhidmatan profesional.
"Di Amerika Syarikat kebanyakan mereka berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda, berkhidmat dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perniagaan, sains, dan seni.
"Majoriti diaspora di United Kingdom mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda, terlibat dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, perubatan dan hospitality manakala di Kanada, ramai yang terlibat dalam sektor pengurusan, perkhidmatan profesional, sains, perubatan dan perkhidmatan teknikal,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui TalentCorp telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menarik bakat tempatan yang berada di luar negara untuk kembali ke Malaysia terutamanya melalui platform MyHeart.
Kata beliau, salah satu program utama adalah Returning Expert Programme (REP), di mana sejak tahun 2011 hingga Jun 2024, program itu telah menerima 11,124 permohonan dan berjaya membawa pulang 2,011 bakat ke tanah air.
"REP menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai pendapatan pada kadar 15 peratus, pengecualian cukai ke atas barangan peribadi, pengecualian duti eksais kenderaan sehingga RM100,000, serta kemudahan untuk memperoleh status pemastautin tetap (PR) bagi pasangan dan anak-anak,” katanya.