UUM serah siasatan kepada polis kes pelajar perdaya NGO

Iklan
Mohd Foad (tengah) pada sidang media Majlis Konvokesyen ke-37 UUM di Jalan Stadium pada Selasa.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Universiti Utara Malaysia (UUM) menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes pelajar universiti itu yang didakwa memperdaya badan bukan kerajaan (NGO).

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar berusia 23 tahun itu kini sedang berehat dan tidak meneruskan pengajian untuk semester ini selepas dia terlebih dahulu memohon penangguhan pelajaran dari universiti.

Iklan
Iklan

Kata beliau, selepas selesai segala siasatan dan hukuman daripada pihak polis barulah UUM akan membuat penilaian sebelum mengambil tindakan termasuklah tatatertib ataupun buang pengajian.

"Jikalau dia didapati bersalah (kita) tengok kesalahannya (dan) kalau melebihi dengan apa yang diperakui dalam akta, (maka) kita kena buanglah, sekiranya dia salah.

Iklan

"Sekarang, dia minta penangguhan pelajaran (dan) kalau bersalah, maknanya hukuman apa-apa bawah polis dahulu," katanya kepada pemberita selepas sidang media Majlis Konvokesyen ke-37 UUM di Jalan Stadium di sini pada Selasa.

Sebelum ini, pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal membuat laporan polis setelah mendakwa pelajar itu memperdayanya dengan kononnya memerlukan sumbangan untuk membayar yuran pengajian yang berjumlah RM5,000.

Iklan

Simpati dengan nasib pelajar terbabit, Zuraini memuat naik hantaran di Facebook bagi mengajak orang ramai membantu pelajar berkenaan hingga pelajar itu menerima sumbangan sebanyak RM1,176 dalam tempoh sejam yang dimasukkan terus ke dalam akaunnya.

Pelajar itu juga didakwa telah memperdaya kira-kira 20 NGO termasuk individu membabitkan jumlah sumbangan hampir RM200,000 sejak dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Foad berkata, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan membuka fakulti kejuruteraan di UUM.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha untuk memberi ruang kepada UUM membuka kursus terutamanya ijazah dalam teknikal.

"Dalam konteks ini kita menubuhkan jawatan kuasa khusus iaitu task force untuk melihat sejauh mana UUM boleh memainkan peranannya dalam menawarkan program-program yang berkaitan terutamanya berkaitan dengan teknikal dalam usaha untuk memenuhi tenaga kerja ataupun sumber tenaga di kalangan graduan khususnya di Wilayah Utara.

"Ini masih lagi dalam proses penelitian di peringkat dalaman UUM," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri menyatakan bahawa akan mengadakan perbicangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bagi meneliti keperluan membuka fakulti kejuruteraan di UUM.

Menurut beliau, langkah itu adalah bagi menampung keperluan mendesak dalam sektor teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta industri elektrik dan elektronik (E&E) melibatkan graduan kejuruteraan.