MP pembangkang cadang ambil alih hotel GISBH jadi muzium

Iklan
Mohd Suhaimi

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang untuk mengambil alih hotel milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Langkawi, Kedah dan menukarnya menjadi muzium ajaran sesat.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, inisiatif ini untuk membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada pelbagai ajaran sesat di dunia.

Iklan
Iklan

"Saya cadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar untuk melihat kepada hotel ini (milik GISBH yang ditinggalkan).

"Sebab saya ada masuk dalam banyak search (carian) untuk cari muzium ajaran sesat (tapi) tidak ada, yang keluar (hanya) muzim Drakula di Romania, di England dan lain-lain.

Iklan

"Jadi, apa yang berlaku baru-baru ini (isu ajaran sesat) kita tidak ada rujukan. Sedangkan dalam dunia ini banyak kes ajaran sesat tanpa mengira agama apa pun,” katanya ketika Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Baru-baru ini, CEO GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Datin Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.

Iklan

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Setakat ini, enam negeri telah mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH sebagai sesat dan bercanggah dengan Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.