Kertas siasatan empat anggota polis curi barang kemas diserah kepada Peguam Negara

Iklan
Rusdi

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan empat anggota polis yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.

"Kesemua empat anggota polis yang direman tiga hari sehingga Sabtu telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media selepas menghadiri program pendekatan kesedaran kes jenayah seksual dan penipuan dalam talian di Sentul di sini pada Selasa.

Iklan

Rusdi berkata, pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.

"Status mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Pada Jumaat media melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini.

Rusdi dilaporkan berkata, tangkapan itu hasil siasatan dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.

Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun.

Katanya, pihak polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, hilang.

Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.

Beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.

Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barang kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.

Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.