KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia bercadang untuk menggunakan penjanaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga negara pada masa hadapan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Justeru, katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerangka undang-undang dan peraturan dibangunkan bagi tujuan tersebut.
"Oleh kerana keputusan itu telah dibuat di peringkat Majlis Tenaga Negara dan juga diperakukan oleh Jemaah Menteri, maka dalam Rancangan Malaysia ke-13 kemungkinan sumber nuklear akan dimasukkan secara rasmi sebagai salah satu dari sumber tenaga di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dialog industri sempena Forum Pelan Tindakan Sektor Peralatan dan Perkhidmatan Minyak dan Gas (OGSE) 2024, di sini, pada Selasa.
Rafizi berkata, peringkat awal pembangunan sektor nuklear memerlukan rangka kerja undang-undang dan peraturan yang ketat termasuk pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan antarabangsa.
"Terdapat senarai panjang pematuhan antarabangsa yang perlu kita patuhi walaupun sebelum kita memulakan pelaksanaan tenaga nuklear.
"Ia akan diputuskan dan dikawal selia kemungkinan oleh Suruhanjaya Tenaga di peringkat pengawalseliaan," katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan bank swasta termasuk CIMB Group Holdings Bhd untuk mengehadkan pembiayaan kepada syarikat minyak dan gas.
"Kita sedia faham bahawa institusi kewangan terutamanya swasta akan terus dapat tekanan sekiranya mereka tidak boleh menunjukkan portfolio pinjaman mereka dalam aktiviti ekonomi hijau.
"Kalau mereka dilihat tidak cukup membiayai program ekonomi hijau tetapi masih lagi membiayai program, aktiviti atau projek yang dilihat kotor seperti minyak dan gas, maka sebab itu bank seperti CIMB mengambil tindakan itu. Tetapi industri minyak dan gas di Malaysia adalah industri strategik," katanya.
Pada Julai tahun ini, CIMB Group Holdings Bhd mengumumkan rancangan untuk mengurangkan Intensiti Berian Pinjaman Pelepasan Karbon Dibiayai (FELI) bagi portfolio minyak dan gasnya sebanyak 16 peratus menjelang 2030, meliputi pelepasan karbon Skop 1, 2 dan 3 daripada syarikat minyak dan gas bersepadu dan huluan.
Selain itu, mulai 1 Januari 2025, CIMB akan menghentikan pembiayaan baharu untuk lapangan minyak huluan yang diluluskan untuk pembangunan pasca 2021, selaras dengan garis panduan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
Terdahulu, Rafizi melancarkan Perkhidmatan Fasilitasi Perkongsian Strategik OGSE dan Panduan Rangka Kerja Kelestarian OGSE Kebangsaan.
Forum sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia. - Bernama