BUTTERWORTH - Seramai 21 warga emas yang dipercayai dari sebuah pusat jagaan di Sungai Karangan, Kulim ditinggalkan di hadapan Pejabat Yayasan Tamilar Kural Malaysia dekat Taman Inderawasih di sini, pada Selasa.
Pengerusi Yayasan Tamilar Kural Malaysia, David Marshel berkata, perkara itu disedari oleh kakitangan pejabat kira-kira jam 1 tengah hari selepas mendapati terdapat sekumpulan warga emas ditinggalkan individu tidak dikenali di hadapan pejabat.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mungkin disebabkan lawatan pihaknya ke pusat jagaan berkenaan pada Ahad lalu selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat mengenai keadaan daif pusat terbabit.
"Ketika lawatan dibuat kita dapati keadaannya (pusat jagaan) sangat teruk dan tidak sesuai untuk dihuni oleh manusia apatah lagi warga emas yang sudah uzur.
"Apa yang lebih mengejutkan kita turut menemui beberapa penghuni yang diikat dengan rantai besi di pusat jagaan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
David berkata, dia telah menghubungi Exco Kesihatan dan Exco Kebajikan Pulau Pinang untuk membantu menempatkan sementara semua warga emas terbabit sehingga siasatan dijalankan pihak polis dan agensi berkaitan.
Tegasnya, pusat jagaan tidak bertanggungjawab itu perlu diambil tindakan sewajarnya atas perbuatan melampau mereka.
"Pada masa ini, pihak Jabatan Kesihatan sedang membuat saringan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengambil data warga emas terlibat.
"Kami dari yayasan telah bekalkan makanan dan minuman buat mereka dan berharap kesemua warga emas ini dapat diberi perlindungan yang sewajarnya," katanya lagi.