Anggota kesihatan diingat lapor kesan advers ubat - KKM

Iklan
Langkah pemantauan keselamatan adalah amat penting untuk memastikan ubat-ubatan yang berada di pasaran terus selamat untuk digunakan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Anggota kesihatan diingatkan supaya membuat laporan mengenai sebarang kesan advers ubat-ubatan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan langkah pemantauan keselamatan adalah amat penting untuk memastikan ubat-ubatan yang berada di pasaran terus selamat untuk digunakan.

Iklan
Iklan

Pelaporan kesan sampingan membolehkan risiko keselamatan ubat-ubatan serta keperluan mengemas kini cara penggunaan ubat dikesan.

"Di Malaysia, semua laporan kesan sampingan ubat-ubatan dikumpul menggunakan Sistem Pelaporan Kesan Advers, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Iklan

"Semua laporan akan dinilai dan dikaji oleh NPRA supaya tindakan bersesuaian dapat diambil termasuk sebarang tindakan regulatori bagi memastikan pengguna terus mendapat manfaat daripada penggunaan ubat-ubatan," menurut KKM.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan KKM bersempena dengan kempen #MedSafetyWeek, iaitu Minggu Keselamatan Ubat-Ubatan anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermula semalam hingga Ahad ini.

Iklan

Kempen yang melibatkan 101 organisasi dari 90 negara itu mengangkat tema Preventing Side Effects yang menekankan kepentingan menggunakan ubat dengan cara yang betul bagi mencegah kesan sampingan dan menitikberatkan keperluan melaporkan kesan sampingan.

KKM dalam kenyataan itu memberitahu anggota kesihatan, malah pengguna sendiri, boleh melaporkan kesan sampingan kepada NPRA melalui beberapa saluran.

Menurut KKM, anggota kesihatan boleh melaporkan melalui Sistem Maklumat Farmasi Hospital (PhIS), borang dalam talian menerusi portal NPRA atau mengisi borang secara manual dan hantar kepada NPRA melalui e-mel fv@npra@gov.my atau pos.

Pengguna juga boleh mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (ConSERF) di laman web NPRA atau menghantar secara manual melalui alamat e-mel yang sama atau pos.

Bagaimanapun, KKM menggalakkan pengguna untuk berbincang dengan anggota kesihatan tentang kesan sampingan yang dialami sebelum membuat laporan. - Bernama