KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) membelanjakan RM330,000 bagi menyediakan platform pendidikan dalam talian, GNIUS bersama peranti mudah alih (tablet) untuk manfaat 434 pelajar terpilih di negeri ini.
Penerima sumbangan program pembangunan pendidikan itu terdiri pelajar-pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM), Akademi Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA-MUIP), Kelas Akademi Kecemerlangan Anak Asnaf (AKAF) dan maahad tahfiz serta pondok di sekitar Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, sumbangan platform GNIUS dan tablet kepada pelajar itu merupakan antara langkah pemerkasaan skim wakalah oleh MUIP melalui Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ).
Menurutnya, MUIP bertanggungjawab dalam menguruskan dana wakalah dan memastikan wang yang diperuntukkan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pendidikan dan pembangunan anak-anak asnaf di negeri ini.
"Inisiatif ini telah menjadi satu anjakan paradigma dalam dunia pendidikan di negeri ini, malah sebagai harapan yang dikongsi bersama untuk membangunkan generasi masa depan yang berilmu dan berkemahiran.
"Dalam era serba digital ini, pihak majlis sentiasa optimis memanfaatkan kecanggihan teknologi termasuklah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang turut diperoleh melalui platform GNIUS ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pengurniaan Platform GNIUS dan Tablet kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM) dan Anak Asnaf Pahang yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di sini pada Selasa.
Ahmad Hairi berkata, MUIP juga mengambil langkah signifikan mencerminkan usaha berterusan dalam mempertingkatkan pendidikan di negeri ini khususnya bagi anak-anak asnaf dan golongan yang memerlukan.
"Sehingga September tahun ini, MUIP telah memperuntukkan RM27.3juta dalam sektor pendidikan bagi manfaat anak-anak asnaf di Pahang.
"RM20.5 juta untuk skim bantuan dermasiswa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang dinikmati 18,960 pelajar dan RM5 juta lagi bantuan awal IPT dengan 4,887 pelajar telah menerima manfaat tersebut," katanya.
Jelas beliau lagi, MUIP turut menyediakan peruntukkan RM878,125 untuk bantuan am pendidikan kepada 26 surau sekolah rendah dan menengah bagi tujuan pembangunan penghayatan Islam pelajar-pelajar Islam.
"Selain itu kita sediakan RM245,085 sebagai bantuan am pendidikan kepada 54 Sekolah Agama Rakyat Kelas Agama dan Fardu Ain (SAR-KAFA) dan RM259,000 untuk bantuan Am pendidikan kepada empat SMUM.
"Sebanyak RM326,200 telah diagihkan kepada 119 pelajar dari kalangan anak penerima bulanan asnaf fakir miskin yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti awam," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah membelanjakan RM96,000 bagi bantuan komputer riba kepada 38 anak-anak asnaf untuk keperluan pembelajaran di universiti dan RM320,325 diagihkan kepada 33 pondok dan madrasah.