KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap seorang pelayar Facebook, Mohd Nawawi Abdul Razak dan menuntut ganti rugi RM10 juta kerana memfitnah Mufti Perlis itu, pernah mendapat keuntungan daripada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Mufti itu yang lebih dikenali sebagai Maza selaku plaintif mengemukakan saman berkenaan menerusi Tetuan Faizal Rahman & Co pada 10 Oktober lalu.
Beliau menamakan Mohd Nawawi, 37 sebagai defendan tunggal, berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan dalam bentuk komen bergambar, dari satu hantaran media sosial milik individu lain, dikenali ‘Kayrollz Nasri’.
Kenyataan yang dikeluarkan pada 20 September lalu, ialah berhubung isu fatwa kesesatan GISBH oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media pada Selasa, plaintif mendakwa, kenyataan fitnah itu memberi gambaran Mufti berkenaan mempunyai hubungan yang akrab, menerima ganjaran wang dan keuntungan peribadi daripada GISBH.
Katanya, komen palsu itu turut memberi makna plaintif seorang yang hipokrit dan mengamalkan perbuatan khurafat.
"Selain menunjukkan plaintif sebagai seorang Mufti yang tidak kompeten, bodoh dan tidak menghormati Raja Perlis dalam mengeluarkan fatwa,” katanya.
Beliau berkata, komen defendan turut memberi imej bahawa plaintif tidak layak diberi kredit di atas Fatwa Negeri Perlis yang dikeluarkan kerana menjadi Mufti yang mengejar kemasyhuran atau pujian orang lain.
Plaintif mendakwa, gambarnya telah disertakan dalam pernyataan fitnah tersebut, yang mana defendan turut merujuknya dengan nama panggilan yang diketahui secara meluas oleh masyarakat umum iaitu Maza.
Katanya, defendan telah menerbitkan atau menyebarkan fitnah tersebut meskipun mengetahui ia adalah dusta dan tidak berasas.
Menurutnya, dakwaan itu diterbitkan dengan niat menghina dan memalukannya dengan cemuhan orang ramai supaya menjauhi plaintif.
"Susulan itu, plaintif menuntut defendan berhenti daripada memuat naik sebarang hantaran dan memadam fitnah, di mana-mana media sosial.
"Defendan juga perlu memberi jaminan secara bertulis tidak akan menerbitkan hantaran atau komen yang berbentuk fitnah ke atas plaintif.
"Dia juga perlu menghantar sesalinan draf notis permohonan maaf dalam tempoh 48 jam dari tarikh notis ini dikeluarkan, yang mana ia perlu diterbitkan selama satu bulan di dalam kesemua laman sosial,” katanya.