PUTRAJAYA - Proses rakaman percakapan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersambung pada Rabu.
Sumber memaklumkan, proses rakaman kali pertama pada Selasa selesai jam 10 malam.
"Vivy dan suami dilepaskan jam 10 malam dan bersambung semula jam 10 pagi esok," katanya.
Terdahulu, Vivy dan Fadzaruddin tiba di SPRM bagi memberi keterangan berkaitan kerugian pelaburan RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Isnin minggu lalu, Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Khazanah telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan tersebut.