Anwar, Li Qiang saksi pertukaran dokumen pelan kerjasama BRI

Iklan
Anwar (kiri) bersama Li Qiang (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Tengku Zafrul (dua dari kiri) dan Liu Sushe (dua dari kanan). Foto Bernama

SHANGHAI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Pelan itu menyasarkan pembangunan berkualiti tinggi dan kerjasama antara Malaysia dan China menerusi penyelarasan dasar, kesalinghubungan infrastruktur yang lebih baik dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Iklan
Iklan

Selain itu, ia turut meliputi kerjasama kewangan yang lebih mendalam serta hubungan yang diperkukuh dalam pelbagai sektor lain seperti pendidikan, sains dan teknologi, media, budaya, pelancongan, kesihatan dan sukan.

Pertukaran dokumen berkenaan adalah antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional China, Liu Sushe.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China mulai semalam hingga 7 November atas jemputan Li bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di sini.

Beliau tiba pada Isnin (4 November), menjadikan Shanghai sebagai destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing.

Iklan

Tengku Zafrul pada Julai lepas dilaporkan berkata, keputusan Malaysia untuk mengesahkan penglibatan dalam BRI menjadikannya antara yang pertama di ASEAN berbuat demikian, justeru mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi antara Malaysia dan China.

Menurutnya, langkah ini telah menghasilkan projek transformasi yang menambah baik kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi.

Tengku Zafrul berkata, syarikat China telah melabur dengan ketara di Malaysia, daripada projek infrastruktur berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada industri berteknologi tinggi di zon ekonomi khas.

Syarikat Malaysia juga telah mencapai kejayaan di China terutama dalam sektor seperti pembinaan, kewangan, hasil pertanian dan pengeluaran makanan halal, katanya. - Bernama