Polis buru suspek samun bersenjatakan parang

Iklan
Rakaman CCTV yang memaparkan kejadian samun sebuah kedai runcit di Pokok Machang, Tasek Gelugor pada Isnin.

KEPALA BATAS - Polis sedang mengesan suspek kes samun bersenjatakan parang dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai runcit di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian daripada seorang wanita selepas kedainya di samun pada jam 9 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian seorang pekerja warga Pakistan sedang menjaga kedai berkenaan sebelum datang suspek menaiki motosikal ke kedai berkenaan.

"Bagaimanapun wajah suspek tidak jelas kerana dia memakai topi keledar dan penutup muka berwarna gelap," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Iklan

Anuar berkata, suspek berjaya melarikan wang tunai jualan kedai yang dianggarkan berjumlah RM2,500.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Iklan

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Ikram Zulkifli di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu tular rakaman CCTV berdurasi 60 saat yang memaparkan kejadian samun di sebuah kedai runcit di Pokok Machang.

Kelihatan pekerja kedai terbabit berlari menyelamatkan diri selepas menyedari suspek yang bersenjata cuba masuk ke dalam kaunter kedai.