Cadang pegawai penguat kuasa jalani kursus, ujian integriti secara berkala

Iklan
Setiap pegawai badan berkuasa dicadangkan menjalani kursus dan ujian integriti secara berkala bagi memahami tanggungjawab serta amanah kepada negara. Gambar hiasan Bernama

SHAH ALAM - Setiap pegawai badan berkuasa dicadangkan menjalani kursus dan ujian integriti secara berkala bagi memahami tanggungjawab serta amanah kepada negara.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, inisiatif itu bagi mengurangkan kegiatan rasuah dalam kalangan penguat kuasa.

Iklan
Iklan

"Setiap kesalahan perlu dikenakan hukuman berat berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Tindakan mereka melakukan rasuah seolah-olah menggadaikan nama negara sehingga menyebabkan ia musnah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, seramai 50 pegawai penguat kuasa JIM yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) September lalu disyaki terbabit dalam sindiket 'counter setting' atau mengatur kaunter, kini ditempatkan di beberapa unit lain.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemuanya dipindahkan daripada penugasan asal dan tidak lagi berkhidmat di kaunter kawalan pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan

Sementara itu, ujar Nor Halmey, tindakan atau denda sewajarnya dilaksanakan kepada pegawai yang dipercayai terlibat kegiatan keji itu.

Tambahnya, jika mereka dipindahkan ke unit lain, perbuatan tersebut mungkin akan dilakukan menggunakan teknik sama sebagai orang tengah.

"Pemasangan kamera badan ketika pegawai bertugas juga perlu dilakukan demi memastikan sindiket tersebut dihapuskan terus.

"Hukuman perlu dilaksanakan supaya menjadi ketakutan kepada pegawai lain untuk tidak sesekali mencebur diri ke lembah hina rasuah,” katanya