Remaja maut terkena renjatan elektrik: Keputusan gantung operasi bas tergesa-gesa

Iklan
Mike Chong

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menggantung serta-merta operasi bas terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang, pada Jumaat lalu merupakan keputusan tergesa-gesa tanpa memahami punca sebenar kejadian.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu menyiasat pengilang bas dan pembekal berkaitan termasuk alat pengecas yang digunakan mangsa bagi mengenal pasti punca.

Iklan
Iklan

"Tanggungjawab syarikat bas adalah memastikan penumpang dibawa ke destinasi dengan selamat, termasuk keselamatan kenderaan tetapi soket yang dikatakan punca kemalangan tersebut berasal daripada pengilang bas dan bukannya pemanduan yang berbahaya.

"Adakah logik dan adil untuk menyekat operasi semua bas daripada jenama berbeza milik syarikat tersebut hanya kerana salah sebuah bas terlibat dalam kemalangan?" soalnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.

Susulan kejadian itu, MOT menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),

Iklan

Mengulas lanjut, Mike berkata, insiden tersebut tidak boleh disamakan dengan kemalangan trafik memandangkan ia kejadian yang sangat jarang berlaku.

"Mungkin boleh diterima jika menteri hanya meminta bas terlibat sahaja diberhentikan operasi bagi menunggu laporan siasatan tetapi menteri telah menggantung lesen perniagaan syarikat bas sebelum beliau memahami sepenuhnya punca sebenar kemalangan. Tindakan ini sangat autokratik dan berlebihan.

"Selepas kerajaan memansuhkan subsidi diesel secara terburu-buru, tekanan kewangan yang dihadapi oleh pengendali perkhidmatan pengangkutan awam kini semakin 'tenat', terutama sekali bagi pengusaha bas yang baru sahaja pulih daripada kesan pandemik.

"Apabila menteri bertindak menggantung lesen perniagaan syarikat tanpa memahami situasi sebenar, ini menyebabkan pemandu bas lain yang tidak bersalah turut terjejas kerana pendapatan merosot secara mendadak," ujarnya.

Tambah beliau lagi, jika hanya dengan menghukum syarikat bas sebagai penyelesaian dan pengakhiran kepada kes, tidak mustahil tragedi sama akan terus berulang.

"Apabila MOT tidak menangani punca sebenar kejadian tersebut dan tidak mengambil langkah bersesuaian, maka ia tidak akan dapat memastikan keselamatan penumpang secara menyeluruh," katanya lagi.