WASHINGTON - Ketika rakyat Amerika bersedia untuk mengundi pada pilihan raya pada Selasa, pegawai bertugas meminta orang ramai bersabar sementara undian dikira dalam perlumbaan jawatan presiden yang dijangka sangat sengit, sambil memberi amaran bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk mengetahui siapa pemenangnya.
Di bawah sistem pilihan raya Amerika Syarikat (AS), rakyat tidak mengundi secara langsung untuk pemimpin mereka.
Sebaliknya, undi mereka memilih 538 ahli kumpulan yang dipanggil Electoral College atau Lembaga Pemilihan, yang kemudiannya memilih presiden dan naib presiden.
Setiap negeri akan memberikan undi Lembaga Pemilihan kepada calon yang memenangi undi popularnya.
Negeri besar dengan lebih ramai wakil dalam Kongres AS pula akan mendapat bahagian lebih besar daripada 538 undi Lembaga Pemilihan yang ada.
Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris dan pesaingnya daripada Parti Republikan, Donald Trump akan berlumba bagi mendapatkan 270 undian penting untuk memenangi perlumbaan sekali gus mendapatkan kunci masuk ke Pejabat Oval di Rumah Putih.
Tetapi dengan pelumbaan tahun ini hampir berakhir, pakar mendapati terdapat kemungkinan risiko penangguhan dan komplikasi seperti cabaran undangundang berhubung pengiraan undi.
Kali ini, terdapat 81 juta orang telah mengundi sebelum Selasa, iaitu lebih separuh daripada jumlah undi yang keluar pada tahun 2020.
BERAPA LAMA KIRAAN UNDI
Pusat pengundian pertama akan ditutup pada jam 6 petang Selasa (waktu tempatan), namun keputusan akan mengambil masa beberapa hari sebelum pemenang diumumkan.
Pada tahun 2020, media AS mengisytiharkan calon Demokrat, Joe Biden sebagai pemenang pada hari Sabtu 7 November, walaupun pusat pengundian ditutup pada hari Selasa sebelumnya.
Pada tahun 2016 dan 2012, pengundi menunggu tempoh masa singkat untuk mengetahui siapa pemenangnya.
Selepas pengundian, pegawai pilihan raya tempatan, yang mungkin dilantik atau dipilih, akan memproses dan mengiranya. Kaedah pengiraan berbeza-beza dari satu lokasi ke lokasi lain.
Banyak negeri telah mengubah undang-undang pilihan raya untuk membolehkan undian masuk atau luar negara disediakan untuk pengiraan menjelang hari pilihan raya, walaupun Pennsylvania dan Wisconsin tidak membuat perubahan yang sama.
Kedua-dua negeri ini adalah medan pertempuran yang boleh berpihak kepada mana-mana parti. Dengan undi pos yang hanya boleh diproses mulai 5 November, ia mungkin melambatkan kiraan undi.
Kiraan undi yang sangat rapat juga boleh mencetuskan pengiraan semula.
SIAPA YANG MEMPERAKUI UNDI
Semasa sedang menunggu pemenangnya oleh pihak berkuasa, media AS akan mengeluarlan keputusan tidak rasmi berdasarkan pemerhatian mereka di pusat mengundi.
Tetapi proses ini adalah tidak rasmi dan keputusannya perlu diperakui di peringkat negeri, dengan setiap undian diambil kira.
Tarikh akhir untuk negeri-negeri mengesahkan keputusan mereka adalah 11 Disember dan pemilih yang dilantik oleh setiap negeri kemudiannya mengundi untuk calon yang memenangi undi popular di negeri mereka.
Menjelang 25 Disember, perakuan pilihan raya setiap negeri mesti diterima oleh Presiden Senat, yang juga merupakan Naib Presiden, iaitu Harris.
Pada 6 Januari, Kongress mengira undi dan mengesahkan keputusan, sebelum presiden baharu dilantik pada 20 Januari.
PUNCA KELEWATAN PENGIRAAN UNDI
Proses pengesahan adalah formaliti, tetapi pakar memberi amaran bahawa terdapat risiko peningkatan terhadap gangguan.
Menurut pakar Brookings, sekurang-kurangnya 22 pegawai pilihan raya daerah mengundi pada 2022 untuk menangguhkan pengesahan di negeri-negeri yang menjadi medan pertempuran.
Ini merupakan peningkatan hampir 30 peratus dari 2020.
Menurut Citizens for Responsibility and Ethics di Washington (CREW) pada masa itu, sekurang-kurangnya 35 pegawai pilihan raya telah enggan mengesahkan keputusan pilihan raya dan mungkin berada dalam kedudukan untuk melakukannya sekali lagi.
Jika gangguan itu berjaya, ia boleh memberi kesan kepada tarikh akhir pengesahan di peringkat negeri dan persekutuan.
Proses pengesahan telah menjadi perhatian dan terutamanya dipolitikkan sejak Trump enggan mengakui kekalahan dalam pilihan raya 2020. - AFP