Misi besar Rosman

Iklan
Rosman (dua dari kiri) memberi taklimat kepada pemain beregu wanita negara di Bukit Kiara pada Selasa.

JURULATIH berpengalaman, Rosman Razak membuka mulut memberitahu pintu hatinya kembali 'rujuk' dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) setelah meninggalkan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Disember 2020.

Rosman pada bulan lalu dinamakan sebagai ketua jurulatih skuad beregu wanita negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Iklan
Iklan

Beliau meluahkan hasrat mahu menyahut cabaran Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky untuk memacu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah melakar keputusan positif pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Jurulatih berusia 48 tahun itu turut tertarik dengan misi untuk mengilap bakat baharu setanding atau lebih baik ketimbang pasangan nombor tujuh dunia itu.

Iklan

"Apabila Rexy datang dan beritahu kehendak serta cadangannya, saya tertarik dengan misi yang dia nak. Ia satu cabaran dan saya terima tawaran itu.

"Sudah pasti tidak lari dari Pearly-Thinaah untuk ke LA28. Selain itu untuk merapatkan jurang junior yang terlalu jauh jauh (ranking dunia). Cabaran itu bukan senang, tetapi saya cukup tertarik dengan harapan serta kepercayaan Rexy kepada saya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memulakan tugas pada hari pertama di ABM, Bukit Kiara pada Selasa.

ROSMAN

Sebagai rekod pasangan beregu negara lain yang berada di belakang Pearly-Thinaah ialah beregu profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien di kedudukan 47 dunia dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing nombor 81.

Pei Kee-Mei Xing pada bulan lalu melakar kejutan apabila muncul juara Malaysia Super 100 selepas menewaskan Nicole Chan-Yang Chu Yun dari Taiwan 22-20, 21-11 dalam aksi final di Bukit Kiara.

Di sebalik cabaran besar tersebut, Rosman enggan meletakkan sebarang tekanan, namun mempunyai formula untuk 'menjodohkan' lapan pasangan melibatkan 16 pemain untuk menjadi gandingan terbaik negara.

Beliau mahu menilai terlebih dahulu corak latihan, sikap dan karakter, selain hala tuju jelas akan diberikan kepada mereka.

"Kebanyakan mereka adalah pemain junior bermula dari kosong. Saya pun tak tahu karakter mereka sama biasa atau mempunyai mentaliti juara. Kena lihat banyak faktor.

"Kita kena faham situasi. Maksud saya, pemain tidak tahu tahap mereka hanya datang buat latihan semata-mata. Saya tidak mahu mereka datang kosong (latihan), mesti ada jalan yang mereka tahu nak pergi mana.

Rosman (kanan) memantau sesi latihan pemain beregu wanita negara di Bukit Kiara pada Selasa. Foto FAM BAM

"Kalau jalan itu mereka tidak tahu, datang tiap-tiap hari berlatih berjam-jam tanpa 'direction', saya fikir ia jadi sia-sia. Jadi 'direction' saya kena beri dan itu tugas saya.

"Apa yang perlu dibuat untuk sekurang-kurang capai seperti Pearly-Thinaah atau lebih lagi," katanya.

Sebagai rekod, Rosman merupakan watak penting membentuk gandingan Pearly-Thinaah yang melakar sensasi menjuarai Terbuka Switzerland pada Mac 2021.

Beliau memberi peluang kepada Thinaah untuk mencuba beraksi dalam acara beregu selepas pemain itu mendapati dirinya tidak boleh pergi jauh dalam acara perseorangan pada 2019.

Selepas tidak lagi bersama BAM, Rosman berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan Filipina selama dua tahun sebelum membimbing beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sejak 2022.