BUKIT MERTAJAM - Perbicaraan kes seorang bekas pekerja salon yang didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar kolej, Moey Yun Peng, 20, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari tahun lepas hari ini ditangguhkan berikutan peguam tertuduh, S Parameswaran menarik diri.
Hakim Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret dimaklumkan bahawa K Vaitheswaran telah melantik peguam baharu iaitu K Paramanathan.
Iklan
Iklan
Ahzah Fariz kemudian menetapkan 10, 12 dan 13 Mac sebagai tarikh sambung bicara untuk memberikan masa kepada peguam untuk meneliti kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim.
Tahun lepas, Vaitheswaran, 21, didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira jam 3 pagi 20 Januari lepas.
Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan kenderaan yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 tersebut hilang kawalan dan terhumban ke laut. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Terjunam ke laut selepas kemalangan