PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa tidak mahu mengakui kelemahan yang berlaku dalam pelaksanaan Peta Hala Tuju F:30 badan induk itu.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, rombakan atau penambahbaikan perlu dilakukan kepada F:30 supaya tidak menjejaskan masa depan bola sepak negara.
"Kalau kita nak maju dalam apa bidang sekalipun kita mesti bersedia menerima sebarang teguran dan mengakui kelemahan. Memang tak salah menegakkan atau mempertahankan prinsip dan keegoan sedangkan fakta dan bukti menunjukkan kegagalan.
"Kita tahu bahawa F:30 adalah produk akhir dan produk akhir itu pun gagal. Jadi, kalau produk akhir itu gagal tapi produk separa siap (B-19 dan B-16) dikatakan tidak gagal, mungkin ada kesilapan atau produk tidak melepasi piawaian.
"Produk itu boleh dipasarkan tetapi di 'Reject Shop' sahaja. Maka dalam kes F:30 itukah yang mereka ingin pertahankan?” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM menyifatkan Peta Hala Tuju F:30 itu tidak gagal walaupun selepas skuad Bawah 16 tahun (B-16) dan B-19 kebangsaan tidak berjaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia tahun ini.
FAM berkata, kegagalan kedua-dua skuad remaja itu tidak bermakna F:30 gagal sepenuhnya, malah perjalanannya masih berbaki enam tahun sebelum projek berkenaan berakhir.
Badan induk itu mengakui F:30 Fasa 2 agak ‘terencat’ jika melihatkan kegagalan skuad B-16 dan B-19 pada Kelayakan Piala Asia tahun ini, namun telah banyak pencapaian diraih terutama pada Fasa 1.
Di bawah projek yang dilancarkan pada Oktober 2018 itu, FAM mahu meletakkan bola sepak Malaysia dalam kelompok lima pasukan gergasi Asia menjelang tahun 2030.
Peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagikan kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.
Fasa kedua pula mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencapai taraf dunia.
Pekan berkata, beliau juga melihat F:30 itu tidak akan mencapai sasarannya untuk mengangkat skuad negara bertaraf dunia.
"Mengikut perkiraan saya F:30 tak akan mencapai sasarannya. Dalam tempoh enam tahun adakah cukup untuk meletakkan Harimau Malaya bertaraf dunia berdasarkan prestasi semasa sekarang?
"Dalam keadaan fasa dua ini pun nampak terumbang-ambing. Rombak dan tukar sahaja DNA palsu (F:30) itu,” katanya.