Proton Saga 'gagah beraksi' biarpun berusia 39 tahun

Iklan
Azlan bersama Proton Saga iaitu kereta pertama dimilikinya sejak 39 tahun lalu.

JERANTUT - Biarpun sudah berusia 39 tahun, Proton Saga 1.5S milik seorang warga emas di Perumahan Banjir Kampung Ulu Teh di sini masih mampu beraksi dan digunakan hingga kini.

Iklan
Iklan

Azlan Mat, 63, memberitahu, walaupun warna kereta itu semakin luntur namun sudah banyak menabur jasa untuk diri dan keluarga sejak membelinya dengan harga kira-kira RM18,000 pada 1985.

Menurutnya, menggunakan duit jualan hasil kebun, dia nekad membeli model tersebut untuk kegunaan isterinya, Faridah Kuchik, 60, yang sedang mengandung ketika itu selain memudahkan urusan untuk bersalin.

Iklan

Azlan setia menggunakan Proton Saga untuk urusan seharian.

"Hingga kini, saya sangat sayang dan setia dengan kereta ini yang juga jarang meragam dan boleh digunakan untuk membantu isteri berulang-alik ke bandar Jerantut untuk berbelanja termasuk jualan hasil kampung bagi sumber pendapatan keluarga," katanya.

Iklan

Jelasnya, keistimewaan Proton Saga model itu ialah memiliki ketahanan enjin, penggunaan bahan api lebih jimat dan selesa untuk pemanduan jarak perjalanan yang jauh.

Azlan tidak mahu menjual Proton Saga ini walaupun ada yang berminat membelinya.

Ujar Azlan, cuma sekali sahaja pernah dihantar ke bengkel untuk membaiki enjinnya yang semput di samping kelaziman seperti kenderaan lain, iaitu menukar tayar baharu, minyak enjin dan alat ganti yang lain.

Jelas bapa kepada dua cahaya mata itu, dia sering memandu kenderaan itu ke rumah keluarga di Kelantan selain ke negeri-negeri lain atas pelbagai urusan.

Ujarnya, buat masa ini dia tidak terfikir mendapatkan kenderaan lain dan amat menghargai model tersebut biarpun sudah berkemampuan untuk membeli kereta baharu.

"Malah saya tidak terfikir untuk jual walaupun ada yang berminat membelinya," tambahnya.