SHAH ALAM - Penggunaan gajet pada awal usia boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak terutama gangguan kepada sistem kognitif.
Pensyarah Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad menjelaskan, penggunaan peranti elektronik secara berlebihan mampu mengurangkan penglibatan golongan itu dalam aktiviti fizikal dan permainan imaginatif yang membantu perkembangan otak.
"Selain itu mereka juga boleh menghadapi kesukaran untuk memahami isyarat emosi dan komunikasi dengan orang lain akibat kurang terdedah kepada interaksi tatap muka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Profesor Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham Malaysia, Dr Tricia Yeoh dilapor berkata, kanak-kanak berisiko berdepan masalah mental jika terlalu awal didedahkan dengan penggunaan telefon pintar sebelum berusia 16 tahun.
Beliau berpandangan, langkah terbaik bagi mengelakkan anak-anak berdepan masalah mental adalah dengan mendedahkan mereka kepada bahan tradisional.
Perkara itu dibahaskan menerusi program Meja Bulat Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk Sistem Pendidikan Malaysia: Selepas 60 Tahun, Di Mana Silapnya? yang disiarkan di portal berita Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Fauziah menjelaskan, kanak-kanak turut berisiko mengalami kelewatan bahasa dan berdepan masalah dalam komunikasi.
Beliau berkata, ini kerana mereka kurang terdedah kepada interaksi lisan dengan ibu bapa atau rakan sebaya yang penting untuk perkembangan bahasa mereka.
"Ibu bapa perlu menetapkan masa harian yang sesuai untuk penggunaan gajet. Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengesyorkan anak-anak di bawah usia dua tahun tidak menggunakan skrin kecuali untuk panggilan video.
"Bagi anak-anak yang lebih besar, cuba hadkan masa kepada satu jam sehari dengan kandungan yang berkualiti selain ajak mereka lakukan aktiviti fizikal seperti berbasikal, bermain di taman atau melukis yang boleh membantu dalam perkembangan fizikal, sosial serta kreativiti,” ujarnya.
Fauziah turut menyarankan golongan ibu bapa memberi contoh terbaik kerana anak akan belajar melalui pemerhatian mereka.
"Jika ibu bapa juga kerap menggunakan gajet, anak-anak mungkin akan meniru tabiat tersebut. Tetapkan masa bebas peranti dalam keluarga seperti ketika makan atau sebelum tidur.
"Bagi anak-anak kecil, luangkan masa bersama semasa mereka menggunakan gajet dan jelaskan apa yang ditonton supaya mereka memahami dan dapat manfaatkan pembelajaran,” katanya.