KUALA TERENGGANU - Seorang nenek kepada 20 cucu mampu membuktikan keupayaannya menawan puncak bukit Maras setinggi 329 meter di Kuala Nerus.
Fatimah Mohd Ali, 67, berkata, walaupun mengalami sakit pada bahagian lutut, dia berjaya mendaki bukit tersebut untuk menikmati pemandangan indah matahari terbit pada Jumaat lalu.
Menurutnya, kejayaan mendaki bukit tersebut merupakan aktiviti riadah kali pertama dilakukan dengan sokongan daripada anak dan cucunya.
"Saya sudah lama teringin nak mendaki Bukit Maras, tetapi disebabkan sering mengalami sakit lutut dan sengal-sengal badan saya terpaksa batalkan hasrat itu.
"Bila anak beritahu kalau saya nak sihat, saya perlu buat lebih banyak aktiviti fizikal seperti mendaki untuk badan yang lebih sihat, saya jadi bersemangat pula nak mendaki bukit.
"Kebetulan minggu lepas saya berpeluang ikut anak dan cucu panjat Bukit Maras, jadi saya gunakan peluang yang ada untuk terus mendaki sehingga ke puncak bukit," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Kampung Kebor Besar, Manir di sini pada Selasa.
Fatimah atau lebih mesra digelar Kak Mah berkata, dia hanya memakai selipar dan menggunakan sebatang tongkat kayu sepanjang mendaki bukit itu.
"Saya mula memanjat Bukit Maras sekitar jam 5 pagi dan tiba di puncak dalam sejam kemudian.
"Sepanjang tempoh tersebut saya hanya berhenti sekali sahaja sebelum menamatkan pendakian.
"Saya benar-benar tak sangka boleh mendaki tanpa mengalami sebarang masalah. Waktu mendaki bukit tu tak ramai orang muda, jadi saya terasa seperti muda kembali apabila ramai yang kagum dan merakam gambar bersama saya," katanya sambil tersenyum.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, selepas berjaya mendaki bukit tersebut, badannya terasa ringan dan sakit pada bahagian lutut mula berkurangan.
"Malam selepas mendaki bukit itu saya tidur lena dan badan terasa lebih segar. Kalau hari biasa tidur saya agak terganggu kerana badan rasa lesu dan tak bermaya.
"Saya berhasrat untuk kembali mendaki Bukit Maras dan melakukan apa sahaja aktiviti riadah yang bersesuaian," katanya.
Dalam pada itu, ditanya rahsia penjagaan kesihatan badan, Fatimah berkata, dia masih sihat tanpa sebarang penyakit kronik atau penyakit tiga serangkai.
Kongsi Farimah, dia hanya mengamalkan makan makanan ruji seperti nasi dan ulam-ulaman serta tidak terpengaruh dengan iklan makanan segera.
"Saya juga hanya makan nasi, ulam dan budu sahaja. Jarang sangat saya makan makanan lain.
"Selain itu, saya juga aktif bercucuk tanam dan ada memelihara beberapa ekor lembu dan kambing milik anak saya di sekitar kawasan rumah," katanya.
Kejayaan warga emas itu menamatkan pendakian sehingga ke puncak Bukit Maras menari perhatian ramai apabila sekeping gambarnya memegang sebatang tongkat di puncak bukit tersebut tular di media sosial baru-baru ini.