TH peruntuk RM29 juta bantu golongan memerlukan

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman (dua, kanan) ketika program sumbangan Program Pusat Audiometrik Bergerak Mobile Hearing.

SHAH ALAM- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama negara, antaranya Lembaga Tabung Haji (TH), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus komited dalam mendukung usaha kerajaan memperkasa ekonomi negara.

Sebagai memenuhi tanggungjawab dalam memangkin sektor ekonomi, syarikat GLIC yang terlibat melaksanakan pelbagai program dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan, sekali gus mengukuhkan kelestarian impak sosial negara.

Iklan
Iklan

Menerusi pelaksanaan program GEAR-uP, inisiatif yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) itu adalah selaras dengan Ekonomi Madani.

TH telah berjaya melaksanakan 16 program utama bagi tahun 2024 yang telah memberi manfaat kepada lebih 500,000 penerima dengan dana agihan zakat melebihi RM29 juta.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, inisiatif itu dilakukan melalui Program CSR Zakat TH bagi membantu golongan asnaf, B40 dan yang kurang berkemampuan meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurutnya, dana itu adalah zakat yang telah diserahkan semula menerusi konsep Zakat Wakalah kepada TH untuk diagihkan kepada golongan sasar yang layak.

Iklan

"Program CSR Zakat TH merupakan sebuah inisiatif tahunan yang menonjolkan peranan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin di Malaysia.

"Program ini berfungsi sebagai satu inisiatif kepada umat Islam dengan menggunakan dana zakat sebagai dana utama untuk menggerakkannya, yang mana setiap tahun, TH melunaskan tanggungjawab bagi pihak pendeposit dengan membuat bayaran zakat ke semua pusat zakat negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.

"Zakat Wakalah yang diterima melalui pusat zakat negeri atau Majlis Agama Islam Negeri dijadikan sebagai sumber dana dalam pelaksanaan Program CSR Zakat TH,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Hamadah (kiri) turut turun padang menyerahkan sumbangan Zakat CSR TH_Pusat Jagaan Bakti Murni Warga Emas dan OKU Wanita Muar, Johor.


Tambah Syed Hamadah, sebanyak RM29.6 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program berkenaan sepanjang tahun 2024.

"Bagi memanfaatkan dana Zakat Wakalah yang diterima, TH telah merencana pelbagai program dan inisiatif untuk diagihkan sebagai bantuan zakat kepada penerima yang layak di seluruh negara melalui tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesihatan dan komuniti, serta keusahawanan.

"Melalui inisiatif utama itu, enam program utama telah diperkenal dan dilaksanakan iaitu Program Iqra’, A’fiat, Mobiliti, Ikhtiar, Ehsan dan Baiti,” ujar beliau.

Program A’fiat misalnya, berfokuskan kepada kluster kesihatan dan komuniti, dengan dana RM2.03 juta dan telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima.

Menerusi program itu, sumbangan peralatan perubatan dan kesihatan diberikan kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Untuk tahun 2024, sumbangan adalah berbentuk 60 unit Radiant Warmer kepada 33 hospital terpilih seluruh Malaysia.

"Peruntukan bagi Dorm Bersalin Hospital Cyberjaya pula sebanyak RM30,950. Tujuan utama pengubahsuaian dan naik taraf ini adalah untuk memberi keselesaan kepada ibu berpantang sambil menunggu dan menjaga bayi yang berada di unit rawatan rapi neonatal (NICU) atau Special Care Nursery (SCN),” jelasnya.

Selain itu, TH juga melaksanakan program Iqra' IPTA, iaitu bantuan kewangan kepada asnaf dan pelajar daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian tinggi di 20 institusi pengajian tinggi awam tempatan terpilih di seluruh negara.

Ujar beliau, ia bagi menampung yuran pengajian, asrama dan elaun sara hidup, dengan dana berjumlah RM9 juta dan 28,913 penerima daripada kalangan pelajar IPTA.

"Program sama turut dibuat bagi membantu pelajar IPTS di bawah program Iqra' IPTS, iaitu bantuan kewangan kepada asnaf dan pelajar daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian tinggi di 12 universiti atau kolej milik kerajaan negeri terpilih di seluruh negara, dengan dana berjumlah RM1.68 juta dan lebih 1200 penerima manfaat,” katanya.

Sehingga kini, ia mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang berkaitan hingga mencapai lebih satu juta penerima manfaat.

INFO

Program Iqra’

- Ia merupakan Program Perdana CSR Zakat TH yang berfokus kepada pembangunan modal insan

Program A’fiat

- Sumbangan dana zakat TH adalah berfokus kepada kluster kesihatan

Program Mobiliti

- Sumbangan kenderaan dwifungsi seperti van jenazah

Program Ikhtiar

- Program CSR dengan menyediakan bantuan modal permulaan kepada golongan asnaf untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan

Program Ehsan

- Membantu golongan yang memerlukan seperti asnaf, warga emas, ibu atau bapa tunggal dan orang kurang upaya dengan tujuan untuk mengurangkan sedikit sebanyak kos sara hidup

Khazanah tingkat kebajikan pekerja, masyarakat dengan Zakat Wakalah

Sementara itu, Khazanah terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya melalui agihan dana Zakat Wakalah.

Menerusi anak syarikatnya iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pelbagai program kebajikan yang dikenali sebagai MYAirportCARES dijayakan, bukan sahaja membantu pekerja yang layak, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sejak tahun 2018 hingga 2024, lebih daripada RM9 juta telah diagihkan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan dan MAHB pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2016 oleh Lembaga Zakat Selangor.

Mohd Izani semasa sesi lawatan tapak pusat dialisis di Masjid KLIA, Sepang, Selangor.


"Ceria Kembali ke Sekolah adalah salah satu program utama tanggungjawab sosial kami yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2018 bagi menyokong pendidikan dan memberikan bantuan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga B40, di sekitar komuniti lapangan terbang.

"Sehingga kini, program Ceria Kembali ke Sekolah telah memanfaatkan dana Zakat Wakalah sebanyak RM340,000 dan disalurkan untuk membantu hampir 1,500 pelajar yang memerlukan. Diharapkan bantuan ini dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai potensi penuh mereka dengan keperluan persekolahan yang lengkap,” katanya.

Menurut Mohd Izani, pada tahun 2024, lebih RM500,000 telah diagihkan kepada golongan asnaf yang dikenal pasti berdasarkan kriteria tertentu dan digunakan untuk program bantuan persekolahan, bantuan perayaan, sumbangan makanan asas, bantuan peralatan perubatan dan pelbagai inisiatif kebajikan lain.

Satu lagi inisiatif signifikan yang baharu dilancarkan ialah pembinaan Pusat Dialisis di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA yang merupakan sebuah masjid di bawah pengurusan MAHB dan dijangka siap pada akhir 2025 serta mula beroperasi sepenuhnya pada 2026.

"Zakat Wakalah adalah cara kami menyumbang dan memberi balik kepada masyarakat. Salah satu inisiatif mampan MAHB di bawah Zakat Wakalah adalah pembangunan sebuah masjid di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen, Türkiye.

"Lapangan terbang ini merupakan salah satu lapangan terbang kendalian MAHB dan merupakan lapangan terbang ke-12 terbesar di Eropah. Masjid tersebut telah menerima sumbangan sebanyak RM4.1 juta daripada dana zakat kami dan dibuka secara rasmi pada tahun 2019, dengan kapasiti menampung 2,800 jemaah pada satu masa,” ujar beliau.

Sementara itu, sebuah lagi anak syarikat Khazanah iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya terhadap tanggungjawab sosial korporat melalui Program Baiti Jannati (PBJ), bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah kediaman yang selesa dan selamat.

PBJ telah menjadi satu inisiatif penting bagi menyokong golongan B40, ibu tunggal, warga emas, golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan perumahan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, PBJ dilancarkan pada tahun 2007 dan terus berkembang dengan peruntukan Zakat Wakalah TNB, menyumbang lebih daripada RM34.8 juta setakat ini.

"Sepanjang tempoh 2018 hingga 2024, lebih daripada 817 buah rumah telah dibina dan dibaik pulih melalui program ini, memberi manfaat kepada lebih daripada 4,000 individu daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Usaha ini sejajar dengan visi TNB untuk menyokong pembangunan negara serta mencapai kesejahteraan sosial melalui inisiatif yang mampan,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan, Mohamad Rizal Ahmad Kanal (tiga dari kanan) dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Abdul Razak.


Program Baiti Jannati TNB ujarnya, mencerminkan komitmen korporat dalam mengurangkan ketidaksamaan perumahan dan meningkatkan kesejahteraan golongan kurang berkemampuan.

Melalui inisiatif tersebut, TNB terus menyokong komuniti mampan, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan saranan kerajaan untuk GLC membantu golongan memerlukan, termasuk mendukung Kelestarian Sosial serta SDG 1, iaitu menghapuskan kemiskinan.

Inisiatif CSR dan zakat PNB bantu pulih sosioekonomi masyarakat

Manakala, sebagai salah sebuah syarikat pengurusan pelaburan terbesar di Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB), telah menyumbang sebanyak RM6 juta sepanjang tahun 2023 bagi program pembangunan komuniti di peringkat nasional.

Secara keseluruhannya, ia telah memanfaatkan 30,500 penerima sumbangan di seluruh negara melalui 95 peratus peruntukan bagi program pembangunan komuniti dan lima peratus lagi digunakan bagi program pembangunan pendidikan.

Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata, bagi program pembangunan komuniti di peringkat nasional, ia turut melibatkan sumbangan RM5 juta untuk membantu lebih 18,500 mangsa dan 60 sekolah yang terjejas berikutan banjir kilat.

Sumbangan 42 mesin jahit kepada projek pembangunan Pusat Kemahiran Jahitan Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor.


Menurutnya, ia melibatkan beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak akibat Monsun Timur Laut pada November 2022 hingga Mac 2023.

"Pada umumnya pengurusan agihan zakat di PNB terbahagi kepada dua fokus utama di mana sebahagian besar daripada dana zakat PNB diagihkan secara terus kepada institusi zakat-zakat negeri dan selebihnya diagihkan sendiri oleh PNB menerusi program Zakat CSR, berpandukan kepada Rangka Kerja Zakat CSR PNB.

"Bagi program Zakat CSR PNB, satu bahagian peruntukan disalurkan untuk program-program bersifat secara sekali beri mengikut negeri, manakala satu bahagian lagi digunakan untuk program-program jangka panjang di peringkat nasional dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Tambah Ahmad Basri, berdasarkan pengagihan Zakat CSR PNB di peringkat negeri, sehingga 31 Disember 2023, RM3.63 juta atau 60.6 peratus disalurkan kepada pemerkasaan komuniti yang telah memanfaatkan 14,619 penerima.

Sebanyak RM1.28 juta atau 21.4 peratus pula digunakan untuk bantuan pendidikan yang memanfaatkan 752 penerima dan RM1.08 juta atau 18 peratus digunakan untuk bantuan penjagaan kesihatan, memanfaatkan 4,950 penerima.

"Bermula tahun 2024, agenda Zakat CSR PNB dilaksanakan secara lebih terperinci dan tersusun menerusi Rangka Kerja Pelaburan Sosial (SIF) yang dipandu di bawah Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan PNB.

"Projek-projek mampan dalam SIF merangkumi program biasiswa dan celik kewangan PNB, pendidikan kesihatan dan peningkatan infrastruktur, program keusahawanan, inisiatif penempatan pekerjaan dan usaha pemuliharaan alam sekitar,” jelasnya.

Sumbangan tiga mesin menuai padi kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK).


Ujar beliau, antara program-program Zakat CSR PNB yang dijalankan sehingga Oktober 2024 termasuk sumbangan tiga buah mesin menuai padi bernilai RM414,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK).

Selain itu, sumbangan kepada pembelian peralatan yang berkaitan dengan penyakit jantung, buah pinggang, kanser, telinga, hidung dan tekak (ENT) atau penyakit-penyakit lain yang memerlukan, menerusi Projek menaik taraf Unit Hemodialisis Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah dan sumbangan peralatan Portable Full HD Camera System bagi perkhidmatan ENT Hospital Bintulu, Sarawak.

PNB juga memberi sumbangan 42 mesin jahit kepada projek pembangunan Pusat Kemahiran Jahitan Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Waqaf An-Nur, untuk kegunaan tukang jahit yang merupakan golongan asnaf.

Menerusi sumbangan ini dijangka 30,000 pasang pakaian seragam sekolah agama akan dihasilkan setahun untuk diagihkan kepada murid-murid asnaf di seluruh negeri Johor.