KPDN sita 132kg gula, 40kg minyak masak peket hampir RM11,000

Iklan
Sebahagian 132 kg gula pasir kasar yang disita KPDN selepas sepasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah premis tanpa nama di Kuala Sepetang di sini pada Selasa.

TAIPING - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita sejumlah barang kawalan bernilai RM10,935 menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah premis di Kuala Sepetang di sini pada Selasa.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan tersebut dibuat ketika sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Taiping menjalankan pemeriksaan harian di lokasi berkenaan sekitar jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes dihasilkan setelah pemeriksaan menemui sejumlah barang kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum disyaki di simpan dalam sebuah premis tanpa nama untuk tujuan perniagaan.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 79 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan didapati gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan di premis tersebut apabila diminta.

Iklan

"Sehubungan itu, satu tindakan sitaan telah dilakukan ke atas 104 unit tong silinder gas petroleum cecair (LPG), 19 unit minyak masak botol, 40 kg minyak masak peket, 132 kg gula pasir kasar dan 396 unit tepung gandum dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10,935.70," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tepung gandum dan tong gas LPG antara barang kawalan yang disita KPDN selepas sepasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di sebuah premis tanpa nama di Kuala Sepetang di sini pada Selasa.

Kamalludin berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu jika sabit kesalahan.

Iklan

Sementara itu, jika perbuatan itu dilakukan syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama manakala denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya.

"KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.

"Kita akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui Inisiatif baharu dikenali sebagai Kita Gempur sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian, membanteras monopoli dan kewujudan kartel," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan masyarakat dan pengguna menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Jelasnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau saluran yang disediakan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku.