Pemandu lori dicekup, gagal seludup 1,190 peket minyak masak

Iklan
Seorang pemandu lori gagal untuk menyeludup 1,190 peket minyak masak selepas dicekup di pangkalan haram Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Selasa.

TUMPAT - Seorang pemandu lori gagal menyeludup 1,190 peket minyak masak selepas dicekup oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di pangkalan haram Nibong, Pengkalan Kubor di sini pada Selasa.

Tangkapan dan rampasan pada jam 12 tengah hari itu dilakukan oleh sepasukan anggota semasa penugasan Op Taring Wawasan selepas menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 70 kotak minyak masak bersubsidi ditemukan di dalam lori terbabit tanpa dokumen yang sah.

"Suspek seorang lelaki berumur 34 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak tersebut ke Thailand.

Iklan

"Anggaran nilai rampasan lori bernilai RM102,975 manakala minyak masak RM2,975," katanya pada Rabu.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

Iklan