BANTING - Sebuah restoran hidangan makanan eksotik di Teluk Datok, di sini diserbu dan sejumlah daging hidupan liar dirampas, Sabtu lalu.
Serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan di premis terbabit menemui sejumlah besar bahagian hidupan liar disyaki daging buaya, babi hutan dan biawak bernilai kira-kira RM75,151.
"Daging ini disimpan tanpa dokumen dan permit yang sah.
"Kita turut menahan tiga individu berusia lingkungan 30 hingga 60-an membabitkan seorang wanita tempatan dipercayai pemilik perniagaan dan dua lelaki warga Bangladesh merupakan pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati restoran berkenaan telah aktif menjual hidangan eksotik sejak tiga tahun lalu.
Katanya, restoran itu juga telah tular baru-baru ini kerana mempromosikan hidangan eksotik melalui platform media sosial.
Tegas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646).
"Operasi ini membuktikan kesungguhan WCU dalam memerangi jenayah hidupan liar dan melindungi spesies terancam," ujarnya.