Semua skim pelaburan di media sosial adalah 'scam' - Bukit Aman

Iklan
PDRM mengingatkan orang ramai berkaitan skim pelaburan yang ditawarkan di media sosial adalah penipuan. Foto hiasan. Gambar kecil: Ramli

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai berkaitan skim pelaburan yang ditawarkan di media sosial adalah penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beliau kesal kerana masih ada mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan walaupun berulang kali nasihat serta amaran diberikan kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

"Malangnya bagi kes penipuan pelaburan, majoriti mangsa lewat membuat laporan polis setelah menyedari mereka telah ditipu.

"Kebiasaannya mangsa tidak menyimpan atau mengingati dengan tepat di mana mereka melihat iklan tawaran pelaburan tersebut di media sosial," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Ramli berkata, tindakan berterusan JSJK sentiasa dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang berkaitan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk melaksanakan tindakan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Ia adalah berkaitan tindakan sekatan ke atas iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan penjenayah untuk mencari mangsa," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa bagi menangani isu penipuan yang berleluasa.

Selain itu NGO itu turut memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sekatan ke atas iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan penjenayah untuk mencari mangsa.

Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa membuat semakan di portal seperti SC Investor Alert List, SC Investment Checker, BNM Financial Consumer Alert List, SSM List of Registered Scheme dan CCID Semak Mule untuk semakan lanjut.

"Selain itu orang ramai boleh menyemak latar belakang syarikat atau perniagaan yang terlibat melalui portal MyData-SSM," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan seramai 10 individu berputih mata apabila mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM3 juta akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian.

Kesemua mangsa berusia antara antara 40 tahun hingga 60 tahun itu diperdaya menerusi iklan di Facebook pada Julai lalu.

Terdahulu Ramli dilaporkan berkata, sebanyak 4,355 kes penipuan pelaburan dicatatkan sejak Januari hingga September lalu.

Daripada jumlah ini, 3,574 kes atau 82 peratus adakah kes penipuan pelaburan yang berpunca dari media sosial iaitu Telegram (1,506 kes), Facebook (1,068 kes) dan WhatsApp (1,000 kes).