KUALA LUMPUR - Isu berhubung kegiatan kartel melibatkan padi dan beras telah diselesaikan dan laporan rasmi bakal didedahkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudahpun menyiapkan laporan kajian berkenaan dengan kartel padi dan beras.
"Tapi saya tak boleh dedahkan di sini lagi sehingga laporan rasmi didedahkan.
"Tetapi sudahpun diselesaikan berkenaan kartel padi dan beras dan kemungkinan penyalahgunaan kedudukan dominan mana-mana syarikat yang mengawal bekalan benih import dan sebagainya," katanya ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Shahidan bin Kassim (PN-Arau) berkenaan sejauh mana kerajaan telah mengambil tindakan kepada kartel dan monopoli yang telah mempengaruhi harga makanan sekarang.
Fauziah menjelaskan, pada 2022, kerajaan sukar mengawal harga ayam disebabkan kartel makanan haiwan.
Namun kegiatan tersebut telahpun dibanteras dan dikenakan hukuman di mahkamah menerusi tindakan dilaksanakan MyCC.
"Waktu tahun 2022, harga ayam kita tak boleh kawal, RM9.40 harga siling itu semua orang tak boleh jual. Mereka letak harga potong, tambah tambah RM1, jadi RM10.40.
"Itu sebab kartel makanan haiwan. Itu sebab kartel makanan ayam yang telahpun dibanteras dan dikenakan hukuman di mahkamah melalui apa yang telah dibuat oleh MyCC," katanya.
Baru-baru ini, seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat direman empat hari berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.