Sepatutnya pilihlah stadium berkecuali - Penyokong Perak FC

Iklan
Venue perlawanan tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan JDT yang sepatutnya berlangsung di Stadium MPM Ahad ini, kini ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor. Gambar kecil: Abdul Salim Putera, Muhammad Hamzah

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menukar lokasi perlawanan tertunda Liga Super di antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata mengecewakan peminat tuan rumah.

Lebih melukakan hati apabila stadium lawan iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor dipilih penganjur liga sebagai lokasi perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

Bendahari Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs), Muhammad Hamzah Md Hamdan berkata, apa juga alasan yang diberikan, seharusnya lokasi berkecuali dipilih dalam perlawanan penting seperti ini.

Menurutnya, penyokong menanggung kos tambahan begitu juga pihak pengurusan yang terpaksa menyediakan pengangkutan percuma kepada peminat yang ingin menonton perlawanan berkenaan.

Iklan

"Saya peminat tegar Perak FC dan pemegang kad semusim 'Black'. Kita beli kad semusim paling mahal sebab nak berikan sokongan, bantu pasukan. Jadi saya ambil keputusan tak pergi ke SSI sebab kita beli pas semusim untuk tengok Perak FC main di Perak, bukan di tempat lawan.

"Sepatutnya MFL kena adil. Pilihlah stadium berkecuali, bukan pilih stadium lawan. Seperti mana perlawanan final, penganjur pilih tempat berkecuali supaya adil untuk kedua-dua pasukan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Bagi Presiden Kelab Penyokong Yellow Mobs Perak, Azli Salleh, alasan diberikan MFL bahawa Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) tidak selamat untuk perlawanan itu langsung tidak boleh diterima kerana dua perlawanan yang berlangsung sebelum ini berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Menurutnya, pihak penganjur harus memberikan kepercayaan kepada tuan rumah dan anggota keselamatan yang ditempatkan di stadium sepanjang perlawanan seperti amalan biasa sebelum ini.

"Kenapa Stadium MPM diklasifikasi sebagai tidak selamat sedangkan semua penyokong dan pasukan bertanding di venue tersebut sebelum ini selama tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Kami amat tidak setuju dengan keputusan ini kerana ia akan jadi satu kelebihan kepada JDT. Kami percaya jika perlawanan diadakan di MPM, Perak FC mampu memberi cabaran kepada JDT," katanya.

Kekecewaan sama diluahkan Ketua Penerangan Perak FC TBG Mobs, Abdul Salim Putera Ahmad Shibi yang menyifatkan keputusan tersebut menganiaya penyokong Perak FC.

Dakwanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak di negeri ini tiada satu pun stadium atau padang di Perak boleh menjadi lokasi perlawanan untuk pasukan tuan rumah hingga terpaksa bermain di tempat lawan.

"Secara peribadi saya agak terkilan dengan pengurusan Perak FC yang bersetuju untuk bermain di SSI sedangkan dua perlawanan sebelum ini tak ada isu padang atau lampu limpah pun. Kita tak nampak apa untungnya Perak FC bermain di sana sehingga terpaksa sediakan pengangkutan percuma.

"Fikirlah penyokong sendiri. Rekod kehadiran penyokong bagi perlawanan menentang JDT amat baik berbanding perlawanan lain. Sekurang-kurangnya buatlah di stadium berkecuali, bukan di tempat lawan," katanya.

Sementara itu tinjauan di media sosial juga mendapati beberapa kelab penyokong meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan mengubah venue perlawanan tersebut.

The Supporters antara yang lantang mempersoalkan kewajaran pertukaran lokasi perlawanan tersebut kerana ia memberi kesan kepada tahap sokongan peminat terhadap bola sepak.

"Tiada apa yang dapat diluahkan selain rasa dikhianati dari segenap sudut. Apakah wajar perubahan ini dilakukan tanpa memikirkan kesan kepada jiwa-jiwa kami yang menatang penuh hormat pasukan ini?

"Mengapakah badan yang mengelola liga ini tidak mempunyai akal fikiran lain selain meletakkan langkah penyelesaian yang sama. Tiadakah gelanggang berkecuali yang dapat dipilih sebagai ganti? Di manakah letaknya maruah pasukan yang mewakili pelbagai masyarakat, pelbagai kawasan yang mencintai bola sepak?" jelas mereka menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, dua perlawanan Perak FC menentang Sabah FC dan Terengganu FC berlangsung di Stadium MPM selepas Stadium Perak menjalani kerja-kerja naik taraf padang.

Pada Selasa, Perak FC menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong skuad The Bos Gaurus yang ingin ke SSI bagi menyaksikan perlawanan tertunda Liga Super di antara Perak FC dengan JDT, Ahad ini.

Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan juara bertahan JDT yang sepatutnya berlangsung di Stadium MPM ditukar ke SSI.

Dalam kenyataan pada Selasa, MFL memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.