ALOR SETAR - Seorang aktivis politik melaungkan 'lawan tetap lawan' semasa diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Alor Setar pada pagi Rabu.
Individu tersebut tiba pada jam 9 pagi bersama dua lagi lelaki dengan berpakaian reman.
Iklan
Iklan
Ketiga-tiga suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pendakwah selebriti konon bagi membantu menyelesaikan kes penggubahan wang haram (AMLA) membabitkan dirinya yang sedang dalam siasatan polis.
Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali kemudiannya menetapkan reman selama empat hari sehingga 9 November ini terhadap tiga individu berkenaan.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 30 hingga 50-an telah ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang pada Selasa dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Bedong dan di Pejabat SPRM Kedah.
"Siasatan awal dipercayai kesemua suspek bersubahat meminta wang sebanyak RM150,000 tetapi mereka hanya menerima RM20,000 tunai daripada pendakwah tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.